Riza Aziz mohon semak semula dakwaan pengubahan wang 1MDB

Riza Aziz berdepan pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd.

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Hollywood, Riza Aziz memohon semakan semula ke atas 5 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya berhubung dana yang didakwa diterima daripada 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam memberitahu wartawan selepas menemui Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob di kamarnya untuk memaklumkan perkembangan kes Riza kepada mahkamah.

“Pihak pendakwaan menerima surat representasinya yang difailkan pada 18 Nov lalu,” katanya sambil menambah beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan kandungan surat itu kerana ia adalah perkara sulit.

Beliau berkata, Rozina menetapkan sebutan kes pada 13 Jan depan untuk pihak pendakwaan memaklumkan keputusannya kepada mahkamah.

“Kami juga akan mengemukakan lebih banyak dokumen perbicaraan kepada pasukan pembelaan kerana kami baru menerima pemberitahuan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat yang mereka akan menghantar lebih banyak dokumen kepada kami.”

Perbicaraan akan bersambung selepas 13 Jan seperti dijadualkan.

Riza yang merupakan anak Rosmah Mansor, berdepan pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd.

Dua syarikat itu dikatakan ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.

Riza didakwa menerima wang itu antara April 2011 hingga November 2012 diCity National Bank di Los Angeles, California dan juga Bank BSI di Temasek Boulevard, Singapura.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, Riza boleh dipenjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram, mana lebih tinggi.