Semua negeri setuju selaras kadar tarif air, kata menteri

Xavier Jayakumar berkata, kadar tarif air tidak disemak semula sejak 20 tahun lalu dan beliau member jaminan tarif air baru tidak akan membebankan pengguna.

SHAH ALAM: Semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dimulakan tahun depan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli masih mengadakan rundingan lanjut berhubung beberapa perkara sebelum membuat keputusan muktamad.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata beliau akan mengadakan perbincangan penuh isu tarif baru air itu dengan negeri berkaitan tidak lama lagi.

“Tarif air belum pernah disemak semula sejak 20 tahun lepas. Kita mahu rakyat faham industri air ini memerlukan dana banyak untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan. Bagaimanapun, kerajaan beri jaminan tarif air (baru) tidak akan membebankan pengguna,” katanya selepas merasmikan bangunan asrama Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Midlands, di sini, semalam.

Beliau akan memastikan kadar baru tarif air itu tidak melebihi 2% perbelanjaan isi rumah yang dilihat sebagai munasabah.

Xavier berkata, kerajaan juga bersedia meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) tahun depan bagi memperkemaskan prosedur serta peraturan berkaitan, antaranya untuk melibatkan syarikat swasta dalam usaha membangunkan industri air negara.

“Kita harus lihat keseluruhan industri ini. Jika mahu bekalan air 24 jam 365 hari, maka semua pihak harus faham industri ini memerlukan perbelanjaan besar (untuk memastikan kelancarannya),” katanya sambil menambah perbelanjaan perkhidmatan air yang besar ketika ini ditanggung sepenuhnya Putrajaya.

Oktober lalu, kerajaan memberi jaminan Mekanisme Penetapan Tarif Air (TSM) yang dijangka dilaksanakan tahun depan tidak membebankan keluarga berpendapatan rendah.

Cadangan pelaksanaan mekanisme itu melibatkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, cukup rendah jika dibandingkan bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas serta telekomunikasi.

Tambahan pula purata kadar tarif air pada masa ini adalah rendah, iaitu RM1.38 bagi setiap 1,000 liter berbanding kos sebenar RM2.31 setiap 1,000 liter.

Sementara itu, Xavier berkata, bangunan asrama sekolah yang dirasmikannya itu adalah yang pertama bagi SJKT di seluruh negara dengan sasaran untuk menempatkan 200 pelajar lelaki darjah 4 hingga 6 daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Asrama ini merupakan projek rintis untuk menyalurkan bantuan kepada golongan berkenaan. Disebabkan ia projek rintis, kita tempatkan dahulu pelajar lelaki. Di sini, mereka akan diberi makanan sihat serta pendidikan, selain dipupuk dengan disiplin baik untuk memastikan masa depan mereka terjamin.

“Saya harap asrama seperti ini dapat dibina di seluruh negara bagi membantu golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India, seterusnya juga mungkin boleh menerima kemasukan pelajar perempuan pula pada masa depan.”

Asrama 4 tingkat yang mempunyai 50 bilik tidur itu dibina dengan kos RM4 juta yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Selangor dan akan menerima kemasukan pelajar pada sesi persekolahan tahun depan.

Bangunan yang mula dibina pada 1 Jan lepas dan siap sepenuhnya pada 31 Okt itu turut mempunyai kemudahan seperti bilik televisyen, bilik warden, pantri, bilik cuci, bilik rekreasi dan bilik kaunseling.