‘Superman’ rancang cabar larangan KDN terhadap komik kontroversi

Bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau ‘Superman’.

KUALA LUMPUR: Bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau sedang berusaha mencabar pengharaman menteri dalam negeri terhadap komik kontroversi selepas salinannya diedarkan ke sekolah sebagai bahan rujukan.

Dalam permohonan semakan kehakimannya, Hew meminta mahkamah membatalkan perintah menteri pada 23 Oktober di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), yang diwartakan pada hari yang sama dalam gazet persekutuan.

Beliau juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 7(1) PPPA adalah tidak berperlembagaan, serta suatu perintah supaya kerajaan memulangkan semua salinan komik yang dirampas sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, pegawai kementerian merampas lebih 2,000 naskhah komik berjudul “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”.

Kerajaan berkata “kandungan buku itu boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan”, sambil menambah komik itu mempunyai elemen yang mungkin menggalakkan sokongan dan simpati untuk perjuangan komunis.

Komik Hew mencetus kritikan selepas laporan berita mengatakan 2,500 salinan dalam Bahasa Malaysia diedarkan ke perpustakaan sekolah sebagai bahan rujukan.

Hew, yang juga dikenali sebagai “Superman” kerana sering memakai baju yang memaparkan logo superhero itu, juga disoal siasat polis sebagai sebahagian daripada siasatan mereka ke atas komik pro-China itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya menetapkan 6 Jan untuk mendengar permohonan Hew untuk mencabar pengharaman komik itu.