Tingkat aspek logistik bantu lonjak ekonomi Thailand-Malaysia, kata duta besar Thai

Duta besar Thai ke Malaysia Narong Sasitron berkata, keperluan meningkatkan kesalinghubungan penting kerana Malaysia dan Thailand terletak betul-betul di tanah besar dan kawasan tumpuan maritim Asean. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand perlu bekerjasama untuk memperkukuh lagi aspek logistik dalam usaha melonjakkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara.

Duta Besar Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn ketika menyuarakan cadangan itu berkata, kesalinghubungan adalah enjin pertumbuhan utama bagi kedua-dua negara yang akan memberi manfaat bersama untuk jangka panjang.

Mengulas mengenai Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) yang diwujudkan 40 tahun lalu, beliau berkata, projek itu kini menghasilkan AS$10 bilion untuk kedua-dua negara dan telah membiayai banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menawarkan skim Geran Penyelidikan Graduan kepada institusi dan individu.

Ia diwujudkan untuk meneroka serta menghasilkan minyak dan gas di zon luar pantai yang dipertikaikan di Teluk Thailand.

“Ini adalah satu daripada projek paling unik dan berjaya di mana-mana negara. Selain itu, mana-mana negara jiran juga boleh mencapai kejayaan tersebut,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Kebangsaan negara itu di sini, semalam.

Acara itu sebagai memperingati ulang tahun kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej.

Sasitorn berkata, keperluan untuk meningkatkan kesalinghubungan penting kerana Malaysia dan Thailand terletak betul-betul di tanah besar dan kawasan tumpuan maritim Asean.

“Perdagangan intra-Asean Thailand dan Malaysia membentuk hampir 40% daripada jumlah perdagangan,” katanya.

Malaysia kini menjadi rakan dagangan terbesar Thailand di Asean, dengan jumlah perdagangan 2 hala mencecah AS$26.19 bilion pada 2018, melonjak 14.1% berbanding AS$22.96 bilion pada 2017.

Hasil perdagangan di kawasan sempadan menyumbang sebahagian besar daripada jumlah dagangan yang direkodkan.

“Perdagangan di sempadan adalah salah satu penyumbang utama pertumbuhan ekonomi kita. Oleh itu, untuk memastikan ia terus berkembang kunci utama ialah memastikan aspek logistik kita bersambung antara satu sama lain.

“Oleh itu, kita mesti memastikan kesesakan di sepanjang sempadan dapat dikurangkan. Contohnya, ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao sekarang. Kita bekerjasama dengan Malaysia untuk memperbaiki sistem perhubungan jalan raya yang menyambungkan kedua-dua negara,” tambahnya.