Zahid pertahan kenyataan Tajuddin berkait abu mayat Chin Peng

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman mengaitkan abu suci Hindu dengan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan usul merujuk wakil rakyat Barisan Nasional itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Zahid berkata, beliau secara peribadi bersimpati dengan Tajuddin yang digantung 2 hari daripada sidang Dewan Rakyat serta dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas dakwaan menghina penganut Hindu pada Selasa lalu.

“Kita bersimpati dengan ahli Parlimen Pasir Salak yang sudah memohon maaf di Dewan Rakyat, digantung kehadirannya, dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana masalah abu mayat Chin Peng.

“…beliau bukan berhasrat menghina mana-mana agama, tetapi ahli Parlimen katakan jangan dewa-dewakan abu mayat Chin Peng. Hakikatnya, Chin Peng adalah ketua pengganas yang membunuh rakyat,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mengusul Tajuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menghina agama Hindu apabila bertanyakan RSN Rayer (PH-Jelutong) jika abu suci “vibhuti” di dahinya ialah abu mayat Chin Peng.

Usul itu diluluskan tanpa bahas berikutan pertikaman lidah antara ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan keperluan perbahasan itu kerana Tajuddin sudah digantung daripada sidang Dewan Rakyat.

Ubah kerajaan persekutuan

Zahid berkata, kerjasama Umno dan PAS menerusi Muafakat Nasional tidak mengimpikan perubahan pentadbiran kerajaan persekutuan melalui pintu belakang yang terbuka luas ketika ini.

“Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.

“Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sementara kita bersiap menunggu Pilihan Raya Umum ke-15, banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional.”