Amanah: Kereta terbang projek tak guna, memalukan

Perwakilan Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly membahaskan pidato presiden dan perbahasan usul di Konvensyen Nasional Amanah 2019 di IDCC Shah Alam.

SHAH ALAM: Perwakilan Amanah hari ini meluahkan rasa kecewa dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), termasuklah rancangan kereta terbang yang dibawa Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Wakil Amanah Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly menyifatkan ia sebagai projek paling “tidak guna” dilakukan kerajaan.

“Apa yang berlaku, kami di bawah malu muka untuk pertahankan kereta terbang, antara program yang paling tak guna dilakukan oleh kerajaan.

“…malu muka kita nak pertahankan isu kereta terbang pada rakyat,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden di Konvensyen Nasional parti itu di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC).

Fadzil juga berkata kemarahan rakyat memuncak apabila kerajaan mengumumkan Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan bermula Januari tahun depan, sambil mendesak kerajaan menangguhkannya.

“Pembangunan pelaksanaan Program Subsidi Petrol menimbulkan kemarahan rakyat, harga dinaikkan 1 sen seminggu hingga mencapai harga pasaran.

“Alasan diberikan untuk pastikan harga barangan tidak naik. Apa cerita ni? Saya minta bila kita berhadapan kemarahan rakyat ini, tolong tangguhkan sementara PSP ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.

Beliau turut menegur sikap kerajaan PH yang dilihat lebih ghairah melaksanakan program tidak sepatutnya diutamakan berbanding isu rakyat.

“Pemimpin PH ghairah untuk membuat perubahan-perubahan Ratifikasi ICERD, pembangunan Kampung Baru, tulisan Jawi, undi 18 tahun, menggabungkan UMT dan UniSZA.

“Semuanya belum tentu untungnya tetapi kita telah menciptakan satu ‘unneeded changes’ yang menyebabkan ‘unwanted war’ berlaku kepada kerajaan PH.

“Sepatutnya kerajaan hari ini mengekalkan kestabilan dan mengambil langkah-langkah yang ‘populist’. Kita seharusnya melakukan apa yang disebut sebagai MIC ‘maintain’ dulu, ‘improve’ dan kemudian barulah ‘change’.

“Kita tidak boleh buat CIM – ‘change, improve, and maintain’,” katanya yang turut menegur tindakan kerajaan menurunkan elaun kepada nelayan ketika era kerajaan BN pada tangga RM250.

Beliau menyifatkan elaun nelayan merupakan langkah terkebelakang.

Beliau turut mengingatkan dalam keghairahan kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40, jangan sampai mengabaikan golongan M40 dan T20.

“Kita juga berhadapan kemarahan rakyat, dulu dapat BR1M sekarang dapat BSH, tapi ada yang dulu dapat sekarang tak dapat.

“Sebab itu kajian dibuat kemenangan PH, antaranya disumbangkan M40 dan B20. Saya faham kerajaan obses bantu B40 tapi jangan hukum M40 dan T20. PSP adalah contoh hukuman kepada M40 dan T20,” katanya.

Teguran juga dibuat terhadap sikap menteri PH yang mengabaikan pekerja parti.

“Tahu mereka baru tetapi itu bukan alasan, menteri dan timbalan menteri bukanlah perasmi program sahaja, ada menteri yang hilang kawalan terhadap jentera kerajaan, sampai kawasan sendiri kena haram.

“Harap menteri jangan abai pekerja parti, menteri kena cakap bahasa rakyat, jangan cakap bahasa retorik.”

Mengulas kekecohan semasa Kongres Pemuda PKR di Melaka semalam, Fadzil mahu Amanah menjadi gam yang paling kuat serta kekal sebagai parti yang mendamaikan parti komponen PH.

“Amanah mesti menjadi gam yang paling kuat untuk menasihati rakan-rakan komponen kita (PH) untuk mengurangkan ketegangan parti mereka.

“Rakyat sudah muak dengan percaturan untuk menukarkan perdana menteri. Krisis dalaman PKR, maka Amanah harus kekal sebagai parti yang mendamaikan komponen PH,” katanya.