Anwar kecewa dapat tahu jabatan peguam negara rayu pembebasan Rafizi

Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

AYER KEROH: Presiden PKR, Anwar Ibrahim sangat kecewa apabila mendapat tahu jabatan peguam negara merayu pembebasan Naib Presiden Rafizi Ramli daripada tuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau mengatakan kes Rafizi itu pada asasnya membantu menyedarkan rakyat wang penternak disalahgunakan pihak berkuasa.

“Sepatutnya kita berterima kasih, bukannya mendakwa,” katanya dalam ucapan pada satu majlis makan tertutup, di tepian kongres nasional tahunan PKR, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi.

“Saya tidak dapat tutup rasa kekecewaan tadi apabila baca berita tadi.”

Anwar berterima kasih atas jaminan Peguam Negara Tommy Thomas dan akan membatalkan rayuan jabatannya pada Isnin ini.

“Saya berharap ini benar-benar berlaku,” katanya.

Awal hari ini, salah seorang peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha, berkata pasukan pembelaan diberitahu mengenai rayuan tersebut hari ini melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan.

Nik Zarith berkata pendaftar juga menetapkan 9 Mac sebagai tarikh sebutan rayuan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lepas melepaskan dan membebaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan NFC, anak syarikatnya dan pengerusi Salleh Ismail.

Perkembangan ini mengundang kritikan Rafizi, yang berharap Thomas akan bertindak terhadap pihak keluarga bekas menteri dalam kes NFC.

CEO syarikat itu adalah suami kepada bekas menteri Shahrizat Abdul Jalil, Salleh Ismail. Anak-anak Shahrizat iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah adalah pengarah.