Goldman Sachs mungkin bayar penalti kurang AS$2 bilion bagi skandal 1MDB

Goldman Sachs mendapat kira-kira AS$600 juta daripada AS$6.5 bilion penjualan bon pada 2012 dan 2013. (Gambar Bloomberg melalui Getty Images)

WASHINGTON: Bank pelaburan Goldman Sachs Group Inc mungkin membayar tidak melebihi AS$2 bilion (RM8.32 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah dan pengawalseliaan atas peranannya mengumpul dana bagi 1MDB, kata 3 individu yang mengetahui rundingan itu.

Mereka berkata, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan agensi persekutuan lain menerusi rundingan dalaman yang diadakan beberapa minggu ini, mempertimbangkan untuk mengenakan penalti antara AS$1.5 hingga AS$2 bilion.

Jumlah itu kurang daripada jangkaan sesetengah penganalisis. Walaupun penyelesaian mungkin diumumkan seawal bulan depan, syarat itu mungkin berubah sebelum perjanjian dimuktamadkan, kata individu yang tidak mahu dikenali mengenai rundingan sulit itu.

Sebahagian besar penalti itu akan dibayar kepada DoJ.

Peguam Negara, William Barr membabitkan diri secara langsung dalam kes itu, kata seorang lagi individu yang tahu perkara itu.

Awal tahun ini, Barr mendapat pengecualian untuk memantau siasatan itu, walaupun bekas firma guamannya, Kirkland & Ellis LLP mewakili Goldman. Tidak diketahui jika DoJ cuba mendapatkan pengakuan bersalah daripada bank pelaburan itu.

Jurucakap DoJ enggan mengulas, begitu juga jurucakap Rizab Persekutuan serta Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti, yang melakukan siasatan sivil ke atas Goldman.

Bank itu mengulangi kenyataan sebelum ini ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Saham Goldman Sachs melonjak sebanyak 3.1% selepas berita mengenai rundingan itu dilaporkan, peningkatan terbesar urus niaga harian dalam hampir 2 bulan. Saham bank itu meningkat 33% tahun ini.