Kenapa perlu naikkan tarif air, Johor tanya Putrajaya

PETALING JAYA: Exco Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya sudah dimaklumkan cadangan pelarasan kadar tarif air oleh Putrajaya, tetapi kerajaan negeri belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ini kerana katanya, Johor ingin tahu kewajaran kerajaan pusat melaksanakan pelarasan kadar tarif air dan ia perlu menilai kemampuan rakyat serta trend penggunaan air di negeri itu terlebih dahulu.

“Kita ada dapat sedikit pandangan daripada kementerian yang mahu seragamkan TSM (Mekanisme Penetapan Tarif Air), tapi secara rasmi kerajaan negeri Johor belum ada mesyuarat muktamad dengan mana-mana pihak untuk memperhalusi isu ini.

“Menteri pun kata masih bincang dengan negeri-negeri,” kata pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor ketika dihubungi FMT.

“Bagi saya, kementerian perlu berikan justifikasi kenapa Johor perlu naik (tarif air) juga? Kita akan lihat alasan kementerian sama ada munasabah atau tidak. Kita nak pastikan tarif air ini pada tahap yang munasabah untuk rakyat Johor juga. Kita dengar dulu kemudian baru perhalusi.”

Kelmarin, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air, tetapi ia masih mengadakan rundingan lanjut berhubung beberapa perkara sebelum membuat keputusan muktamad.

Katanya, rakyat perlu memahami industri air memerlukan banyak dana untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan dan tarif air tidak disemak semula sejak 20 tahun lalu.

Beliau memberi jaminan kadar baru tarif air tidak akan melebihi 2% perbelanjaan isi rumah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri akur dengan keputusan kerajaan pusat.

“Ya, sudah tentu kita perlu akur kerana sistem pelarasan air adalah polisi kerajaan pusat.

“Kerajaan pusat tetapkan mekanisme tarif yang mengambil kira perbelanjaan mengurus bagi memastikan kelangsungan bekalan air untuk jangka panjang.”

Katanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang terpaksa menanggung subsidi air terlalu tinggi setiap bulan sehingga membantut pelaburan bagi projek lain seperti penyaluran air dari Perak ke Pulau Pinang dan membaik pulih paip.