
Menyifatkan ia sebagai “membimbangkan”, Ramkarpal Singh bagaimanapun berkata beliau mengalu-alukan pengesahan Thomas bahawa beliau tidak membenarkan rayuan itu dan beliau akan membatalkannya pada Isnin.
Peguam yang mewakili Naib Presiden PKR Rafizi dimaklumkan sebelum ini bahawa AGC memfailkan rayuan terhadap pembebasannya di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).
Nik Zarith Nik Moustpha berkata pasukan pembelaan diberitahu mengenai rayuan tersebut melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, peguam Zaid Malek, yang mewakili bekas pegawai Public Bank, Johari Mohamad yang dituduh bersekongkol dengan Rafizi, juga mengesahkan mereka dimaklumkan pendaftar mahkamah mengenai rayuan tersebut dan 9 Mac ditetapkan sebagai tarikh sebutan rayuan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ramkarpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor dan pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, berkata walaupun Thomas tidak membatalkan rayuan pada Isnin, kesahannya dipertikaikan kerana hanya peguam negara mempunyai kuasa mengikut budi bicaranya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkannya.
“Ini sememangnya menunjukkan bahawa jika rayuan sedemikian difailkan bagi pihaknya oleh salah seorang timbalannya, ia bagaimanapun mesti diluluskan olehnya.
“Memandangkan jelas bahawa tidak ada kebenaran seperti itu, pasukan pembelaan Rafizi perlu mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membatalkan notis rayuan tersebut jika Tommy tidak menarik balik dirinya pada Isnin,” katanya.
Beliau menyeru tindakan “tegas”, termasuk kemungkinan pemecatan terhadap mereka di sebalik “perbuatan yang bertentangan dan sabotaj sedemikian”.
“Imej AGC, yang menjadi penjaga keadilan di negara ini mesti dilindungi dengan penuh waspada,” katanya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lepas melepaskan dan membebaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan NFC, anak syarikatnya dan pengerusi Salleh Ismail.
Rafizi dituduh mendedahkan akaun bank manakala Johari dituduh bersekongkol dengannya di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Mahkamah Sesyen mendapati mereka yang pada awalnya dituduh bawah Bafia, yang kemudian digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas kedua-duanya.
Berikutan rayuan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi kemudian membebaskan mereka selepas memutuskan beberapa dokumen yang dihasilkan semasa perbicaraan tidak dapat diterima kerana tidak berada dalam bentuk asal.