Melayu perlu tinggalkan konsep ketuanan, kata perwakilan Umno Johor

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kulai, Mohd Jafni Syukor.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Johor menyarankan kepimpinan parti memasukkan 3 elemen yang disifatkan “Nasionalisme Baru” dalam Muafakat Nasional.

Mohd Jafni Syukor berkata, kerjasama Umno-PAS perlu disuntik semangat perjuangan yang berpaksikan nasionalisme baru.

Timbalan ketua Umno Bahagian Kulai itu berkata, Melayu perlu menyerlahkan diri sebagai bangsa yang ingin maju dan berjaya dengan belajar meninggalkan konsep ketuanan Melayu yang terlalu selesa dengan gelaran “tuan tanah”.

“Ya, kita bangga (tapi) ia mestilah berkadaran.

“Melayu mestilah belajar jadi lebih kaya dan lebih terpelajar, mesti jadi tuan tanah yang berjaya ekonominya, pendidikannya dan sosial bangsanya,” katanya dalam sesi perbahasan perwakilan negeri pada Perhimpunan Agung Umno 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Jafni berkata, orang Melayu perlu membuktikan perjuangan terhadap Islam bukannya taksub kepada agama dan bangsa semata-mata.

“Kita harus utamakan kepentingan bersama agar aman dan makmur,” katanya sambil menambah Muafakat Nasional boleh dijadikan agenda inklusif untuk rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, Umno-PAS melalui Muafakat Nasional perlu menunjukkan Islam ialah agama progresif dan sederhana, serta menjadi asas utama bagi “Melayu Baru”.

Sementara itu, Jafni menggesa Parlimen dibubarkan segera kerana kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dilihat gagal mentadbir dan menguruskan negara selepas 18 bulan memerintah.

Katanya, pembangkang khasnya Barisan Nasional turut memenangi 4 daripada 9 pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum tahun lalu.

PH mengalami kekalahan memalukan di PRK Tanjung Piai pada 16 Nov lalu selepas BN berjaya mendapat majoriti 15,086 undi.