Tauke besar tak bersama kita, PKR diangkat oleh rakyat, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

AYER KEROH: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tauke besar yang kaya raya tidak bersama partinya, sebaliknya parti reformasi itu diangkat oleh rakyat yang susah dari jalanan.

Beliau berkata PKR hanya ada semangat menegakkan keadilan, tidak terlalu pandai, tiada ada dana tetapi ada semangat dan cita-cita.

“Lihat kita ini satu pasukan. Bila kita kata lawan tetap lawan, itu lawan jangan dengan kawan.

“Parti ini parti kita dan parti derita diangkat rakyat susah di jalanan. Tauke besar kaya raya tak bersama kita,” katanya ketila berucap dalam ucapan dasar dan perasmian Kongres PKR ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Beliau berkata demikian mengingatkan mereka yang terlibat dalam kekecohan sewaktu kongres Pemuda PKR semalam.

Semalam, Anwar juga meminta lembaga disiplin PKR memecat pelaku yang bertanggungjawab dalam kekecohan tersebut.

Beliau juga memohon kerjasama pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Kekecohan tersebut tercetus apabila bekas pengerusi tetap Mizan Adli Mohd Nor dan penyokong beliau cuba masuk ke dalam dewan persidangan selepas tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dalam surat bertarikh 27 Nov, PKR menamatkan jawatan Mizan dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tetap Pemuda PKR kerana berusia lebih 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka lebih banyak daripada perwakilan yang hadir dalam kongres tahun lepas.

Sekurang-kurangnya seorang cedera apabila pergaduhan membabitkan 2 kumpulan itu berterusan ke jalanan.

Mengulas lanjut, Anwar meminta ahli PKR memecahkan tembok halangan dan bangkit sebagai satu keadilan rakyat.

Beliau berkata jangan anggap politik sebagai percaturan golongan elit berkuasa.

“Sekarang ada reformasi, ada Pakatan Harapan (PH) dan kita kena pastikan 5 hingga 10 tahun PH (bela) nasib rakyat lebih baik daripada dulu.

“Bukan diukur berapa ramai wakil rakyat kita, berapa ramai senator kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata akan meminta kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Beliau berkata IPCMC hanya bicara salah laku polis.

“IPCMC untuk memberi kebajikan (pada polis) dan tangani keganasan jenayah.

“Tingkat kita nak kawal jangan ada keterlanjuran dalam tindakan mereka.

“Kita boleh kaji semula memandangkan kita sedang menilai semula dan akan datang dengan cadangan pada Mac akan datang,” katanya.

Pada 3 Disember lalu, Putrajaya bertindak menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) untuk membahaskan dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong yang mencadangkan untuk bacaan ke-2 dan ke-3 RUU itu ditangguhkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.