PKR sasar 1 juta ahli tahun depan

Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR bermula dengan hanya 4,193 ahli pada April 1999. (Gambar Bernama)

MELAKA: PKR menyasarkan sejuta ahli menjelang akhir tahun depan, kata Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, PKR kini mempunyai 984,239 ahli, iaitu kekurangan kira-kira 52,000 ahli untuk mencapai sasaran itu.

“Bermula dengan hanya 4,193 anggota pada April 1999, hari ini ketika kita berkongres, cuma kurang 52,000 untuk mencecah angka satu juta anggota, ini adalah kebanggaan kita.

“Esok pada akhir kongres, sidang perwakilan akan balik dengan fokus dapatkan 52,000 lagi anggota baru supaya menjelang kongres tahun depan, kita akan mempunyai satu juta anggota, itu sasaran kita,” katanya dalam ucapan aluan pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini.

Saifuddin berkata, Sabah dan Sarawak mencatatkan lonjakan luar biasa, iaitu 146,000 ahli pada Mei 2018 meningkat kepada 168,000 orang di Sabah tahun ini, manakala 57,000 ahli di Sarawak (Mei 2018) bertambah kepada 78,000 ahli tahun ini.

PKR ialah satu-satunya parti di negara ini yang menubuhkan bahagian berdaftar di 222 kawasan Parlimen.

Hari ini, Kongres Nasional PKR ke-14 bertemakan “20 Tahun Keadilan: Dua Dekad Merakyatkan Reformasi” turut menyampaikan Anugerah Khas Pemimpin dan Anugerah Cabang Khas kepada 12 penerima.

Lapan pemimpin menerima anugerah untuk menghargai kepimpinan mereka dalam perjuangan parti, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri, Naib Presiden Tian Chua, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh dan Saifuddin Nasution.

Empat lagi pemimpin ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Mansor Othman, Naib Presiden, Dr Xavier Jayakumar, Pengerusi MPN Kedah, Johari Abdul dan pembantu peribadi Setiausaha Agung, Zara Zahari.

PKR turut menyampaikan Anugerah Bill Kayong atas sumbangan dan jasa Md Shah Amin dalam parti, selain bertanggungjawab merealisasikan penubuhan PKR, yang diterima anak lelakinya.

Anugerah Khas Cabang diberikan kepada Tanjung Manis, Bachok, Kuala Kangsar, Tebrau dan Kudat kerana berjaya menarik ramai ahli tahun ini, sekaligus menjadikan bahagian itu mempunyai jumlah keahlian paling ramai.