Rusuhan ganas seluruh Greece, 77 ditahan

Menurut polis, kumpulan belia dan anarki melempar bom petrol serta objek lain ke arah anggotanya semasa rusuhan dan perarakan memperingati insiden seorang pelajar lelaki ditembak mati oleh polis pada 2008. (Gambar Bernama)

ATHENS: Seramai 77 orang ditahan di beberapa bandar di Greece pada Jumaat semasa rusuhan ganas dan perarakan bagi memperingati insiden seorang pelajar lelaki berusia 15 ditembak mati oleh seorang anggota polis pada 2008, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan polis.

Alexandros Grigoropoulos terbunuh di daerah Exarcheia di pusat bandar Athens pada 6 Dis 2008.

Kematiannya mencetuskan tunjuk perasaan, rusuhan dan serangan membakar yang berlanjutan selama 2 minggu di seluruh negara.

Greece turut menyaksikan beberapa perhimpunan susulan pembunuhannya setiap tahun sejak tragedi itu berlaku.

Menurut polis, beberapa kumpulan belia dan anarki melempar bom petrol serta objek lain ke arah anggota polis.