Saya sedia terima jawatan lebih rendah, kata Mat Sabu selepas diundi di tempat ke-7

Presiden Amanah Mohamad Sabu (tengah) berkata, beliau bersedia menerima jawatan lebih rendah, tetapi jawatankuasa pimpinan parti itu mahu beliau kekal sebagai presiden untuk penggal ke-2.

SHAH ALAM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini berkata, beliau bersedia menerima jawatan yang lebih rendah selepas gagal mendapat undian tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu bagi sesi 2019-2022 semalam.

“Saya bersedia untuk ke jawatan yang lebih bawah, tapi mereka mahu mengekalkan (jawatan),” katanya dalam sidang media Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC) di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas keputusan pemilihan semalam yang menyaksikan beliau hanya mendapat tempat ke-7 undi perwakilan sedangkan beliau merupakan penyandang jawatan presiden parti.

Mengulas lanjut perkara itu naib presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, parti mahu Mohamad dikekalkan jawatan presiden untuk penggal seterusnya.

“Kami yang mengekalkan beliau. Kami semua bersetuju mengekalkannya sebagai presiden kerana beliau merupakan orang yang berpengalaman, banyak memberikan pengorbanan dan berjaya memimpin Amanah selama ini,” katanya.

Sementara itu, pengarah komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang mendapat undi terbanyak berkata, walaupun Mohamad mendapat kedudukan ke-7 dalam pemilihan yang dijalankan semalam, namun undi yang diperolehinya masih “agak popular”.

“Jumlah undi yang diperolehi adalah jumlah yang agak popular, melebihi 70%.

“Jadi apa yang kita kena faham ialah pemilihan ini bukan pemilihan presiden, ia adalah pemilihan untuk Jawatankuasa Pimpinan Nasional. Itu sistem kita.

“Kalau ada pemilihan presiden, mungkin keputusannya akan berbeza, sebab itu anda tak boleh bandingkan satu sistem dengan satu sistem yang lain,” katanya.

Khalid berkata, di bawah sistem pemilihan yang digunakan parti itu, jawatankuasa pimpinan diberi kuasa untuk memilih presiden, timbalan presiden dan sebagainya.

Dalam sidang media sama, ketika ditanya bilakah 2 kekosongan bagi jawatan naib presiden parti itu akan diisi, Mohamad berkata, ia akan dibuat selepas mesyuarat pertama parti itu kelak.

Mohamad yang mendapat 681 undi akan memimpin Amanah untuk penggal ke-2 sehingga 2022.

Turut kekal untuk penggal ke-2 ialah Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden, manakala Mahfuz, Mujahid Yusof Rawa dan Hasanuddin Mohd Yunus pula mengekalkan jawatan naib presiden.

Dalam pemilihan semalam Khalid mengungguli persaingan dengan undi tertinggi sebanyak 786, mengatasi 87 pencabar lain.

Beliau diikut rapat oleh Mahfuz dengan 780 undi, sementara Salahuddin di tempat ke-3 dengan 765 dan Mujahid di tempat ke-4 dengan 755 undi.

Seramai 822 perwakilan memilih 27 calon bagi mengisi jawatankuasa pimpinan parti itu bagi sesi 2019-2022.

Semua 27 pemenang, bersama speaker, 14 ketua negeri, ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Wanita Muda diberi kuasa untuk memilih presiden, timbalan presiden dan 3 naib presiden.

Dua lagi naib presiden akan dipilih oleh presiden yang dilantik.