Syarikat minyak Mexico umum penemuan deposit minyak besar di Tabasco

Menjelang 2021, Pemex merancang meningkatkan pengeluaran minyak di kawasan Tabasco kepada 110,000 tong sehari. (Gambar fail)

BANDAR MEXICO: Octavio Romero Oropeza, ketua eksekutif syarikat minyak negara Mexico, iaitu Pemex pada Jumaat mengumumkan penemuan deposit minyak mentah besar-besaran di tenggara Tabasco dengan rizab minyak mentah disahkan bersamaan 500 juta tong, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

“Kami boleh mengesahkan kewujudan deposit besar yang bersamaan dengan 500 juta tong minyak mentah rizab 3P,” kata Romero.

Menurut beliau, kerja-kerja penggalian telaga minyak sudah bermula dan syarikat itu merancang untuk mengekstrak sehingga 69,000 tong sehari dari tapak itu tahun depan.

Menjelang 2021, Pemex merancang meningkatkan pengeluaran minyak di kawasan itu kepada 110,000 tong sehari.

Syarikat minyak Mexico itu mempergiat penggalian di negara tersebut susulan kemerosotan rizab dalam bidang yang sedang dibangunkan.

Output minyak Pemex berkurang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hutang terkumpul syarikat itu adalah kira-kira AS$100 bilion.

Sejak 6 tahun lepas, pengeluaran merosot hampir 30%, jatuh sebanyak 7% pada tahun lepas sahaja.

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador mengutamakan sokongan terhadap Pemex.

Draf bajet Mexico bagi 2020 yang disiarkan pada September membabitkan peruntukan sebanyak AS$4.3 bilion bagi tambahan modal Pemex, selain langkah mengurangkan beban cukainya.