Tok Mat lawan sebenar Anwar, kata penganalisis

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dilihat sebagai pilihan terbaik parti itu untuk memimpin BN dan Muafakat Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

PETALING JAYA: Firma penyelidikan, Ilham Centre menyifatkan timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan merupakan lawan sebenar Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua penyelidiknya, Mohd Yusri Ibrahim berkata, Mohamad, atau Tok Mat, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau memiliki karakter unggul untuk memimpin Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.

“Saya meneliti dengan tekun personaliti kepimpinan Tok Mat sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 ini sehingga tamat ucapan penangguhan beliau sebentar tadi.

“Saya boleh rumuskan, andai sosok ini memimpin Umno, mengemudi BN dan Muafakat Nasional serta dinamakan sebagai bakal perdana menteri menjelang PRU15 nanti, PH akan berhadapan dengan masalah besar.

“Untuk menghadapi sosok Anwar di pihak PH, adu terbaik Umno-BN dan Muafakat Nasional adalah Tok Mat, Adun Rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad sebelum ini memangku jawatan presiden Umno ketika Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertuduhan di mahkamah dan memimpin kemenangan pertama BN pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands selepas PH mengambil alih negara pada PRU14 lalu.

Meskipun Mohd Yusri memuji ketokohan Mohamad, namun beliau mengakui bekas menteri besar Negeri Sembilan itu bukan orang lama yang berpengaruh seperti presiden Umno, Ahmad Zahid; bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein mahupun bekas presidennya, Najib Razak.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, tugas PH akan lebih mudah menjelang PRU15 jika kepimpinan BN diterajui 3 nama besar Umno itu.

“Tiga ‘warlord’ Umno hari ini adalah Ahmad Zahid, Najib dan Hishammuddin. Ketiga-tiga sosok ini mempunyai pengaruh paling kuat di peringkat akar umbi Umno, khususnya di bahagian.

“Namun jika mana-mana antara 3 pemimpin ini menerajui Umno, mengemudi BN dan Muafakat Nasional lalu dinamakan sebagai bakal PM menjelang PRU15, PH akan tersenyum lebar, memudahkan tugas mereka,” katanya.