Beri kami peluang bertanding di Kimanis, kata PPBM Sabah

Setiausaha PPBM Sabah Ronald Kiandee berkata, parti itu adalah antara komponen terbesar PH di negeri tersebut.

KOTA KINABALU: PPBM Sabah berharap pimpinan Pakatan Harapan (PH) pusat dapat mempertimbangkan untuk meletakkan calon parti itu bertanding bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis nanti.

Setiausaha PPBM Sabah Ronald Kiandee berkata, Kimanis adalah antara bahagian PPBM yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program “outreach” dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak PPBM bertapak di Sabah.

“PPBM antara parti komponen PH yang terbesar di Sabah. Dari segi bilangan wakil rakyat, PPBM adalah kedua terbanyak di Sabah selepas parti Warisan.

“Bagi memperlihatkan kekuatan PPBM di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kimanis, pucuk pimpinan PH harus memberi peluang kepada PPBM bertanding di kerusi Kimanis dalam PRK kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ronald berkata ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PPBM dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun PPBM Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH pusat.

“Siapa juga calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH untuk bertanding di PRK Parlimen Kimanis, kita akan akur dan sokong,” katanya.

Sementara itu, ketua PPBM Kimanis Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bahagian itu telah bersedia dan akan memikul amanah jika diberikan peluang.

“PPBM Kimanis juga akan menyokong dan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada mana-mana parti dari PH yang dipilih bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.

Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.