Dana asing kekal penjual bersih, aliran keluar RM700.2 juta minggu lepas

Jualan asing dihadkan oleh pembelian bersih institusi tempatan sebanyak RM687.1 juta dengan penyertaan purata pada 46.65%, 2 kali ganda lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menarik diri daripada Bursa Malaysia dengan angka aliran keluar meningkat hampir sekali ganda kepada RM700.2 juta dari Isnin hingga Khamis minggu lepas berbanding RM422.2 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, aliran keluar didorong oleh sikap tunggu dan lihat dalam kalangan pelabur ekoran pasaran global masih terjejas oleh ketidaktentuan perkembangan luar, terutama rundingan perdagangan AS-China.

Kadar purata penyertaan bagi runcit asing dan tempatan masing-masing sebanyak 27.07% dan 26.3%, berbanding 32.99% (institusi asing) dan 25.3% (tempatan) dalam tempoh yang sama minggu lepas,” katanya.

Bagaimanapun, jualan dihadkan oleh pembelian bersih oleh institusi tempatan sebanyak RM687.1 juta dengan penyertaan purata pada 46.65%, 2 kali ganda lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya (RM336.5 juta: 41.71%).

“Kejatuhan harga saham syarikat berpotensi sudah pasti mewujudkan nilai ke atas saham itu dan ini membuka peluang kepada pelabur institusi tempatan untuk meningkatkan pegangan mereka. Pada masa yang sama ia menstabilkan harga saham di bursa tempatan,” katanya.

Untuk minggu ini, Bursa Malaysia suram selepas presiden Donald Trump menyatakan beliau tidak tergesa-gesa untuk menandatangani perjanjian perdagangan dengan China, dan berkemungkinan menandatanganinya menjelang kempen pemilihan presiden.

Prestasi ringgit minggu ini banyak dipengaruhi oleh kenaikan harga minyak serta rundingan perdagangan AS-China yang berterusan.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata, pelabur akan kekal sensitif terhadap berita berkaitan perjanjian perdagangan AS-China, sambil menghitung hari menjelang tarikh akhir Trump pada 15 Disember membabitkan tarif berjadual yang akan dikenakan ke atas barangan China.

Beliau berkata, lebih banyak tanda mengenai kesepakatan perdagangan fasa pertama akan menaikkan mata wang Asia.

“Bagaimanapun jika pelabur mengambil maklum bahawa lebih banyak tarif perdagangan akan dilaksanakan, ia akan menjejaskan minat untuk mengambil risiko,” katanya.

Antara perkembangan ekonomi yang menjadi tajuk utama minggu ini ialah pengumuman oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia akan menerima semua cabaran untuk memastikan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 berjaya.

Beliau berkata cabaran itu, termasuk risiko pelonggaran dasar perdagangan luar bagi memastikan APEC 2020 berjaya dan manfaat hasil daripada perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi itu dirasai dan dinikmati oleh rakyat.