Kanak-kanak PPR berbaris di jalanan ambil bantuan makanan

Pada Oktober 2015, badan bukan kerajaan (NGO) Laskar4Life mengadakan bancian rambang mengenai jumlah gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Berdasarkan pengalaman, bancian diukur dengan jumlah pek makanan yang diedarkan.

Tujuh lokasi utama gelandangan diberikan tumpuan, iaitu sekitar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India, laluan pejalan kaki di luar Masjid Negara, sekitar Bangkok Bank, Puduraya (yang kini dikenali Pudu Sentral) dan depan Menara Maybank.

Bekalan makanan terhad menyebabkan 3 lokasi lain di sekitar stesen LRT Masjid Jamek, Jalan Petaling dan Jalan Silang tidak dapat diziarahi.

Sebanyak 1,600 bungkusan makanan habis diedarkan. Hampir 800 diagihkan di Chow Kit, Jalan TAR (300), Jalan Masjid India (150), Masjid Negara (100), Bangkok Bank (100), Puduraya (150) dan Menara Maybank (100).

Semua pek makanan lengkap dengan minuman dan kit kesihatan habis diedarkan dalam tempoh 3 jam oleh 2 pasukan yang menaiki 4 kenderaan.

Itu cerita 4 tahun lalu. Apa pun ceritanya masih sama. Semua 7 destinasi yang dijadikan lokasi kajian data jumlah gelandangan masih wujud hari ini.

Kalau dijumlahkan dengan 3 lokasi yang tidak dapat diziarahi kerana kehabisan makanan, jumlah edaran boleh mencecah tambahan 550 pek.

Jalan Petaling masih memiliki sekitar 150 gelandangan, Jalan Silang dengan campuran gelandangan warga asing memerlukan 200 pek dan sekitar stesen LRT Masjid Jamek juga 200 pek.

Itu 4 tahun lalu. Apa pun, 10 lokasi gelandangan ini masih kekal hingga sekarang. Cuma bagi Laskar4Life, fokus edaran makanan sekarang terhad di sekitar Chow Kit.

Sebagai wartawan yang melihat dan melaporkan pelbagai aktiviti NGO membantu gelandangan sejak 1990-an, keadaan di jalanan mengalami perubahan drastik.

Pada era Pete Nicol mengetuai Green Outreach dari 2001 hingga 2004, fokus utama penerima bantuan ialah penagih dadah, pekerja seks dan gelandangan.

Era sama dilalui Kitchen Soup yang konsisten memberikan bantuan makanan dan kit kesihatan di Jalan Masjid India serta Chow Kit.

Sejak awal 2000-an, majoriti gelandangan masih penagih dadah, pekerja seks dan gelandangan.

Mulai 2015, senario berubah. Misi bantuan makanan gelandangan berdepan fenomena drastik. Senario tanpa diduga bermula pada Ramadan tahun itu.

Ratusan wajah yang mengerumuni Dataran Amal (berdepan CIMB Jalan Chow Kit) adalah kelompok baru.

Sepanjang Ramadan, sekitar 500 hingga 2,000 pek makanan disediakan pelbagai pihak. Selain NGO yang komited, limpahan makanan juga disumbangkan pihak surau dan masjid.

“Ini lebihan makanan berbuka dan moreh,” kata wakil Masjid Al-Bukhary di ibu kota yang kerap menghantar makanan.

Manakala pengusaha restoran nasi beriani menyediakan 300 hingga 500 pek makanan setiap malam. Sepanjang Ramadan, Dataran Amal menjadi tumpuan.

Siapa mereka yang muncul berkerumun itu? 70% ialah warga miskin bandar daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Chow Kit. Dari Kampung Baru ke Sentul, sampai sejauh kawasan Gombak.

“Ibu bapa menghantar anak-anak seawal 8 malam untuk mengumpul sebanyak mungkin makanan,” kata Setiausaha Laskar4Life, Aniza Mehboob Shah.

Selain mendapatkan makanan, anak-anak ini terpaksa berbaris semula setiap kali bantuan makanan diedarkan.

“Saya perlu bawa balik 8 bungkusan makanan,” kata seorang kanak-kanak dari PPR sekitar Sentul.

Ini satu kejutan. Anak sekolah berusia 10 hingga 15 tahun terpaksa berbaris berulang kali hingga larut malam untuk mengumpul pek makanan mengikut keperluan isi rumah.

Senario ini mengejutkan. Selama 20 tahun melihat misi bantuan kemanusiaan di jalanan, Ramadan pada 2016 mengubah keadaan.

Fenomena ini antara topik yang dibentangkan Laskar4Life dalam Seminar Miskin Bandar anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan pada 5 Dis lalu.

Seminar dengan 16 pembentang mewakili 4 pemegang taruh utama berkongsi data dan analsisis penting. Mereka ialah aktivis jalanan, ahli akademik, tokoh masyarakat dan bekas pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman menguruskan krisis kemiskinan bandar.

Pengerusi seminar yang juga wartawan kanan, Ahmad Thalib diberikan tanggungjawab membentuk pasukan kerja pasca seminar.

Fokus utama pasukan ini ialah menyediakan “blue print” menangani krisis kemiskinan bandar.

Kemunculan penduduk PPR di jalanan untuk mendapatkan bantuan makanan satu isyarat serius yang mesti diberikan perhatian.

Kemiskinan bukan lagi sekadar isu sewa rumah, harga minyak, kadar tol atau gaji minimum. Kita sedang berdepan realiti warga miskin bandar menghadapi kemelut akses makanan harian!

Zainal Rashid Ahmad ialah penasihat Laskar4Life.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.