Muhammad Haiqal raja pecut Asia Tenggara yang baru

Atlet pecut negara Muhammad Haiqal mengungguli acara 100 meter Sukan SEA ke-30 dengan catatan masa 10.35 saat, di hadapan 2 peserta Thailand, Sowan Ruttanapon dan Bandit Chuangchai yang mencatat masa 10.49 saat dan 10.52 saat. (Gambar AP)

NEW CLARK CITY: Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi dinobatkan selaku Raja Pecut baru Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter Sukan SEA ke-30 pada aksi di Stadium Olahraga New Clark City, di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu melakar catatan masa 10.35 saat untuk memenangi acara riben biru berkenaan, sekali gus mempertahankan emas dimenangi seorang lagi pelari pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan catatan masa 10.38s.

Pingat perak dan gangsa dalam acara itu, masing-masing diraih oleh 2 pelari Thailand, iaitu Sowan Ruttanapon dan Bandit Chuangchai yang mencatat masa 10.49 saat dan 10.52 saat.

Dalam pada itu, pelari pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli menduduki tangga keenam daripada 8 atlet dalam acara 100 meter wanita dengan catatan 11.84 saat.

Acara berkenaan diungguli pelari Vietnam, Le Tu Chinh dengan catatan 11.54 saat, disusuli wakil tuan rumah, Kristina Marie Knott (11.55 saat), manakala pelari Singapura, Shanti Veronica Pereira meraih gangsa selepas mencatat masa 11.66 saat.