Nama seram ‘Nasi Lemak Depan Kubur’ tapi jadi bualan sarapan pagi terbaik di PD

Nasi Lemak Depan Kubur terletak di Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

Pelbagai cara cuba diketengahkan dalam usaha untuk menjadikan sesebuah perniagaan agar popular dan viral.

Dalam zaman yang serba mencabar ini, ia sangat penting kerana secara tidak langsung peniaga boleh memperoleh jumlah pengunjung yang luar biasa sebaik sahaja kedai mereka menjadi viral khususnya menerusi laman sosial.

Namun peniaga harus ingat di sebalik menu makanan yang perlu memenuhi selera pelanggan, terdapat juga strategi lain yang peniaga boleh gunakan untuk menarik minat pengunjung.

Antaranya, nama kedai yang unik dan pelik hingga ia menitip di setiap bibir hingga membuatkan pengunjung ingin datang merasai makanan di tempat itu.

Dan inilah yang berlaku kepada sebuah gerai di Port Dickson, hanya disebabkan nama yang digunakan agak menyeramkan telah membuatkan sesiapa sahaja yang mendengar pasti mahu berkunjung ke situ semata-mata hanya ingin mencuba keenakan makanan sarapan pagi di situ.

Tanah perkuburan Islam Kariah Kg Teluk Kemang menjadi lokasi untuk mencari kedai viral Nasi Lemak Depan Kubur.

“Nasi Lemak Depan Kubur” itulah nama gerai di waktu pagi yang popular di kawasan Teluk Kemang.

Kedai ini juga menyediakan pelbagai aneka makanan dan anda boleh mencubanya sebaik sahaja berkunjung ke sini.

Pemilik kedai, Salmi Osman menyambung perniagaan arwah ibunya di lokasi yang sama.

Bercakap kepada FMT, Salmi Osman, 36 berkata ia merupakan perniagaan arwah ibunya sejak 1995 dan dia meneruskan bisnes tersebut yang menggunakan lokasi yang sama iaitu di hadapan Tanah Perkuburan Islam Kariah Kg Teluk Kemang.

“Dulu orang panggil kedai ni kedai makan Kak Ann, tapi namanya diubah, orang selalu panggil kedai ni kedai ‘depan kubur’, bila orang tanya dekat mana? Mereka akan jawab ‘ada ni tengah makan dekat kedai depan kubur’

“Lama-kelamaan nama itu melekat jadi ‘nasi lemak depan kubur’, kita senang, bagi nama kedai ikut mana yang lebih mudah ingat,” katanya.

Mengulas lanjut, Salmi turut berkata nama kedai itu diubah sejak tiga tahun lalu dan turut didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Antara pelanggan tetap yang berkunjung setiap hari.
Kedai mula beroperasi jam 6.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

“Ketika ingin mendaftar nama kedai tu, saya ditanya banyak kali tentang nama kedai yang saya nak berikan, dia tanya ‘betulkah puan nak bagi nama kedai Nasi Lemak Depan Kubur ni?’

“Dia tanya saya tiga kali untuk pengesahan, tak puas hati dia tanya lagi ‘kenapa nama kedai akak seram sangat?’ Saya pun kata sebab kedai saya ni memang betul depan kubur,” jelasnya.

Aneka makanan yang disediakan di Nasi Lemak Depan Kubur.

Nasi Lemak Depan Kubur terkenal dengan resepi sambal kawah, namun pengunjung boleh menikmati hidangan lain seperti roti canai, lontong, bihun goreng dan bakso.

Salmi menjelaskan yang kedainya beroperasi bermula 6.30 pagi sehingga 11.30 pagi sahaja dan tidak dibuka pada waktu malam.

“Saya bergurau dengan mereka kalau buka malam takut hantu kubur datang,” katanya berseloroh.

Bagaimanapun pemilik kedai Nasi Lemak Depan Kubur ini berkata dia berniat untuk mengembangkan perniagaannya lagi sehingga waktu malam, namun masih dalam pertimbangan.

“Kalau dah buka waktu malam nanti, jangan lupa datang walaupun depan kubur nanti ya,” pesannya sambil ketawa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]