Pemimpin Amanah pertahan projek kereta terbang

SHAH ALAM: Dua pemimpin Amanah menyalahkan tentera siber pembangkang sengaja memainkan dan memperbesarkan kritikan negatif terhadap projek kereta terbang.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad meminta rakyat tidak melayan kritikan berhubung projek itu.

“Yang sebut pasal kereta terbang ini BN (Barisan Nasional). Kenapa kita nak layan?” soalnya dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah di sini, hari ini.

Beliau yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof sudah memberi penjelasan berhubung projek kereta terbang.

“Dia (menteri) dah betulkan, itu ‘super drone’,” katanya.

Redzuan sebelum ini dilaporkan berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk memberi gelaran kereta terbang pertama negara sebagai “aerocar”, dron ataupun “super drone” kerana semuanya dikategorikan mobiliti udara.

Mac lalu, pemaju projek itu, Aerodyne Group dilaporkan berkata, kenderaan dikenali sebagai Vector itu sebenarnya ialah dron berkuasa 4 motor yang menggunakan bateri litium-ion.

Ia dijangka boleh membawa muatan 150 hingga 200kg dan terbang pada ketinggian kira-kira 50m dengan kelajuan 60km sejam selama 30 hingga 90 minit.

Semalam, seorang perwakilan Amanah Pahang mengkritik projek kereta terbang sebagai program tidak diperlukan yang dilaksanakan kerajaan PH.

Katanya, sukar untuk menjelaskan projek itu kepada rakyat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Mohd Hatta Md Ramli berkata, projek mobiliti udara yang sedang dibangunkan Putrajaya ialah peluang baik untuk membantu usahawan tempatan.

“Peluang baik ini tidak patut dipersiakan dengan tipu helah di media sosial.

“Berita-berita yang menentang Pakatan Harapan atau Amanah salah, palsu. Tolak dulu dan jangan terima,” katanya.