Perwakilan PKR ‘boo’ pemimpin Wanita sebut nama Azmin

Sangetha Jayakumar menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR hari ini. (Gambar Bernama)

AYER KEROH: Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar mendapat sorakan ejekan daripada perwakilan di Kongres Nasional parti itu selepas menyebut nama Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan sekutunya yang meninggalkan dewan semalam.

Beliau dalam ucapan penggulungan mewakili sayap itu pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) hari ini, meminta semua pihak menghargai sumbangan pemimpin yang berjuang untuk parti selama 20 tahun, termasuk Azmin dan sekutunya.

Tetapi, beliau “diboo” perwakilan yang turut melaungkan “pecat”.

Timbalan pengerusi tetap segera menenangkan perwakilan sebanyak 2 kali dan meminta Sangetha menghabiskan ucapannya.

Selepas Sangetha selesai berucap, Tian Chua segera ke tempat duduk Presiden PKR, Anwar Ibrahim di pentas, dipercayai untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan perwakilan mengganggu ucapan wakil Wanita PKR itu.

Tian Chua bercakap dengan Anwar kira-kira 5 minit, tetapi tidak diketahui isi kandungan perbincangan mereka.

Tian Chua (duduk, tiga dari kanan) berbincang dengan Anwar Ibrahim (dua dari kanan) selepas Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar ‘diboo’ perwakilan.

Pada masa sama, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilihat cuba menenangkan Sangetha yang dibawa ke belakang pentas.

Azmin dan sekutunya tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional PKR hari ini.

Tian Chua antara pemimpin yang meninggalkan kongres parti separuh jalan semalam, bersama Azmin dan 2 lagi Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin serta Ali Biju.

Mereka mendakwa Anwar gagal memenuhi janji bagi memastikan komposisi pembahas mewakili semua pihak, tidak menyindir dan melakukan serangan peribadi.

Azmin dilaporkan berkata, tindakan Anwar memulakan ucapan dasarnya dengan mengupas kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar membuka laluan kepada pembahas untuk melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan dalam parti, tetapi Anwar menafikan kisah itu menyasarkan mana-mana pihak.