Saya tak takut perwakilan, kata Tian Chua walaupun ‘diboo’

Tian Chua menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR di Melaka hari ini. (Gambar Facebook)

AYER KEROH: Naib Presiden PKR, Tian Chua “diboo” perwakilan beberapa kali ketika menyebut nama Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Kongres Nasional parti separuh jalan semalam kerana tidak berpuas hati dengan ucapan dasar Presiden, Anwar Ibrahim serta perbahasan perwakilan.

Walaupun berulang kali diganggu, bekas ahli Parlimen Batu itu tetap meneruskan ucapan dengan berkata, beliau tidak takut untuk berdepan perwakilan.

“Suruh pecat dan cakap pengkhianat. Kami ini tidak takut untuk pertahan parti.

“Saya tidak pernah lari daripada perjuangan, itulah sebab saya kembali. Di sini biar jangan berpura-pura,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR di sini, hari ini.

Anwar kemudiannya bangun dan memberi isyarat tangan meminta perwakilan bertenang.

Sementara itu, Tian Chua berkata, isu Anwar menjadi perdana menteri ke-8 tidak patut dibincangkan dalam Kongres Nasional PKR kerana ia sudah dipersetujui pemimpin parti komponen Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Perkara ini sudah ditetapkan…Saya setuju jika bincang isu air dan nasional.

“Saya tak perlu tunjuk sokongan dengan angkat plakad Anwar PM8. Saya setia perjuangkan parti,” katanya.