Sukan SEA: Malaysia raih 1 emas, 2 perak karate

Atlet negara P Madhuri mendapat emas dalam acara kumite bawah 55kg wanita selepas menewaskan lawan dari Thailand, Tippawan Khamsi dengan kemenangan 4-1 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, hari ini. (Gambar Bernama)

MANILA: Skuad negara menutup saingan hari ke-2 karate di Sukan SEA ke-30 di sini hari ini dengan pungutan 1 pingat emas dan 3 pingat perak.

Pingat emas negara diperolehi menerusi P Madhuri dalam acara kumite bawah 55kg wanita, selepas menewaskan lawan dari Thailand, Tippawan Khamsi dengan kemenangan 4-1, dalam aksi yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, di sini.

Madhuri yang jelas teruja dengan kemenangannya mengakui pingat emas itu amat bermakna buat dirinya, memandangkan ia emas pertama yang dirangkul dalam acara individu.

Tambahnya, beliau menjadikan ratu karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan yang sebelum ini turut beraksi dalam kategori sama, sebagai mentornya dan ia menjadi motivasi untuk meraih kejayaan.

“Sebelum saya datang ke sini, sebelum saya lawan, dia (Syakilla) ada mesej saya. Pesan dekat saya untuk lawan betul-betul dan berikan yang terbaik.

“Syakilla adalah senior saya, dia adalah seorang atlet yang bagus dan contoh kepada saya. Saya akan terus berusaha untuk sampai ke tahap seperti yang dia lakukan,” katanya kepada media sejurus tamat perlawanan.

Kecemerlangan Madhuri itu bagaimanapun gagal diteruskan 3 lagi wakil Malaysia yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

M Mathivani terdahulu mendominasi acara kumite bawah 61 kg wanita, namun kesilapan pada hujung perlawanan menyaksikan beliau terpaksa menelan hakikat tewas tipis 2-3 kepada wakil Thailand, Arm Sukkiaw.

Sementara itu, 2 lagi pingat perak skuad karate negara disumbangkan oleh Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dalam acara kumite bawah 67 kg lelaki dan acara kata berpasukan wanita.

Bertemu dengan juara 2 tahun lepas, Supa Ngamphuengphit dari Thailand, aksi di pentas akhir itu jelas dilihat bukan milik Muhammad Arif yang tewas mudah 0-7.

Sementara itu, Malaysia juga terlepas peluang menebus kehampaan 2 tahun lepas apabila trio negara, Khaw Yee Voon, Chang Sin Yi dan Celine Lee Xin Yi gagal menewaskan juara bertahan dari Vietnam dalam acara kata berpasukan wanita selepas sekadar mengutip 23.8 mata.

Gandingan Vietnam, Nguyen Thi Phuong, Thi Thu Uyen Luu dan Le Thi Khanh Ly yang memperagakan aksi lebih tersusun mengesahkan pingat emas dengan mengumpul 25.4 mata.