Tangani patriaki dalam parti, wanita sebahagian Rahmatan Alamin, kata AJK Amanah

AJK Pimpinan Nasional Amanah, Siti Mariah Mahmud berucap dalam sesi penggulungan perbahasan di Konvensyen Nasional parti itu di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Amanah perlu menangani kemelut patriaki menebal dalam parti itu kerana perjuangan wanita ialah sebahagian daripada gagasan Rahmatan Lil Alamin, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasionalnya, Dr Siti Mariah Mahmud.

“Kita nak jaga hati semua orang, tetapi tidak jaga hati semua wanita. Takkan tiap-tiap tahun nak meminta-minta (kedudukan dalam parti),” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan di Konvensyen Nasional Amanah di sini, hari ini.

Beliau mendakwa bilangan ahli wanita lebih ramai daripada lelaki di lapangan.

“Siapa yang nak menang (jawatan parti) kena jaga wanita,” katanya disusuli tepukan perwakilan.

Beliau mencadangkan amalan aktivisme dilaksanakan di semua peringkat parti kerana tidak semua orang akan mendapat lantikan politik.

Katanya, ahli boleh terus membantu dan menyumbang kepada perjuangan parti melalui gerak kerja aktivisme serta kerjasama antara satu sama lain.