Terserah kepada PPBM jika mahu letak calon di Kimanis, kata Shafie Apdal

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, sesiapa sahaja boleh bertanding dalam PRK Kimanis, tetapi lebih penting calon yang dipilih mampu memberi kemenangan.

KOTA KINABALU: Terserah kepada PPBM Sabah jika parti itu mempunyai keinginan untuk meletakkan calon mereka bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis nanti, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Shafie, yang juga presiden Parti Warisan Sabah, berkata, sesiapa sahaja boleh meletakkan calon dan bertanding pada pilihan raya itu, bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah calon dipilih mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Itu terserah dengan mereka (PPBM Sabah). Bertanding, boleh bertanding, tetapi apa yang penting siapa boleh menang. Tidak ada ertinya bila kita letak seseorang atau parti… yang penting kepada kita (calon) bagi kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Regatta Lami Lami 2019 di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin PPBM Sabah yang berhasrat meletakkan calon parti itu bagi PRK Kimanis, sekali gus berharap pimpinan Pakatan Harapan (PH) pusat dapat mempertimbangkan perkara itu.

Shafie berkata, beliau telah meminta pengerusi PH Sabah Christina Liew, yang juga pengerusi PKR Sabah, mempengerusikan mesyuarat berkaitan bersama PPBM Sabah, selain membincangkan perkara berbangkit dengan beliau.

Setiausaha PPBM Sabah Ronald Kiandee dalam kenyataannya hari ini berkata, Kimanis adalah antara bahagian PPBM yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program “outreach” dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak PPBM bertapak di negeri ini.

Beliau berkata, ketua PPBM Sabah Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PPBM dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun Ronald berkata, PPBM Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH Pusat.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas.