12 pekerja kilang kimia melecur akibat kebakaran

Tong solvent di luar kilang kimia di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang terbakar. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Dua belas pekerja sebuah kilang kimia di Jalan Nibong 1, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, melecur dalam kejadian kebakaran di kilang berkenaan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Ismail Dollah berkata kebakaran yang berlaku antara 9.21 pagi dan 9.27 pagi itu, bagaimanapun, berjaya dipadam sepenuhnya oleh Unit Kebakaran Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd.

“Kejadian menyebabkan 12 pekerja melecur pada bahagian badan.

“Dua daripadanya menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, manakala 4 lagi di Hospital Penawar, Pasir Gudang. Enam yang lain hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Penawar, Pasir Gudang,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Ismail berkata punca kebakaran tersebut masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Yahya Madis mengesahkan tindakan pemadaman kebakaran itu dilakukan pihak Pasukan Respons Kecemasan (ERT) kilang tanpa menghubungi bomba.

“Yang terbakar adalah tong solvent di luar kilang dan tidak melibatkan struktur kilang,” katanya.