4 sekeluarga maut dalam kemalangan di New Zealand dikebumi di Christchurch esok

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenazah 4 sekeluarga itu akan disembahyangkan di Masjid Al Noor, Christchurch. (Gambar bloomberg)

KUALA LUMPUR: Jenazah 4 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di New Zealand Jumaat lepas akan dikebumikan di Memorial Park Cemetery, Christchurch pada 12.30 tengah hari, waktu tempatan esok.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenazah 4 sekeluarga sebelum itu akan disembahyangkan di Masjid Al Noor.

“Kementerian Luar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan serta komuniti Malaysia di New Zealand yang menghulurkan bantuan daripada pelbagai aspek kepada waris mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas itu mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, serta 2 anak mereka, Maisarah Arifah, 13, manakala dua lagi cedera parah.

Bagaimanapun, seorang daripada anak mangsa yang parah, Nur Irfan, 15, yang juga anak sulung pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) semalam.

Anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, masih mendapat rawatan di Hospital Wellington dan dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri Sabah melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada keluarga tersebut.

Sumbangan disampaikan oleh pembantu menteri undang-undang dan hal ehwal anak negeri yang juga Adun Petagas Uda Sulai di kediaman ahli keluarga Rumihati di Kampung Ulu, Putatan, hari ini.

Ketika ditemui pemberita, Uda berharap bantuan kewangan itu mampu meringankan sedikit sebanyak keperluan ahli keluarga terbabit yang ditimpa musibah.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah daripada Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal kepada ahli keluarga mangsa dan bersimpati atas kemalangan yang berlaku.