Anifah fail semakan terhadap keputusan batal kemenangan di Kimanis

Bekas menteri luar Anifah Aman berpendapat korum Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuannya sebelum ini dicemari atau berisiko berat sebelah.

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar Anifah Aman dijangka memfailkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang memutuskan kemenangannya di Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke 14 (PRU-14) tidak sah.

Dalam satu kenyataan, peguamnya, Tengku Ahmad Fuad berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan berat sebelah, dengan menambah bahawa semakan akan difailkan dalam minggu ini.

“Dalam permohonannya, Anifah berpendapat korum Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuannya sebelum ini dicemari atau berisiko berat sebelah.

“Ini kerana 3 daripada 5 hakim yang mendengar rayuan Anifah turut mempengerusikan dan mendengar petisyen pilihan raya oleh calon Warisan Karim Bujang yang membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan sebelum ini.”

Tengku Ahmad, yang menggantikan peguam Anifah sebelum ini, Ansari Abdullah, menambah bahawa rayuan Anifah perlu didengar oleh korum hakim yang baru.

Tengku Ahmad bagaimanapun menambah bahawa beliau tidak diarahkan untuk menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal memastikan proses pilihan raya umum lalu dijalankan dengan bersih.

Pada 5 Dis, panel 5 hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum itu yang membatalkan kemenangannya pada pilihan raya 9 Mei 2018.

Pada PRU14, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi dalam pertandingan 3 penjuru, selepas mendapat 11,942 undi berbanding Karim yang meraih 11,786 undi dan calon Parti Harapan, Jaafar Ismail yang memperoleh 1,300 undi.

Anifah meninggalkan Umno tahun lalu atas alasan parti itu gagal memenuhi tuntutan hak Sabah dan beliau mengambil bahagian dalam jelajah serta ceramah untuk mengembalikan hak negeri berkenaan.