Dewan Rakyat terima surat kekosongan Parlimen Kimanis mulai esok

Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menerima surat pemakluman daripada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi P 176 Parlimen Kimanis mulai 10 Dis (esok).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof berkata kekosongan kerusi Parlimen itu berlaku berikutan SPR menerima perakuan Mahkamah Persekutuan menurut Seksyen 36A(3)(a), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan Kimanis yang disandang oleh Anifah Aman sebelum ini tidak sah dan terbatal.

“Sehubungan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 2 Dis lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas menteri luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.