Geran padanan kepada TAR UC tidak sama dengan peruntukan, kata INSAP

Timbalan pengerusi INSAP Pamela Yong berkata, peruntukan RM40 juta yang diberikan kepada Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman adalah tidak sama dengan geran padanan yang sepatutnya diterima oleh TAR UC seperti dipersetujui sebelum ini.

PETALING JAYA: Institut Analisis Strategik dan Kajian Dasar Strategik (INSAP) menyelar Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini kerana mempolitikkan geran padanan yang sepatutnya diterima oleh Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) daripada kerajaan.

Menyifatkannya sebagai “bidak politik dalam rancangan peribadi menteri untuk mengenakan MCA”, timbalan pengerusi INSAP Pamela Yong dalam satu kenyataan berkata, peruntukan RM40 juta yang diberikan kepada Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA) adalah tidak sama dengan geran padanan yang sepatutnya diterima seperti dipersetujui oleh menteri pelajaran pada masa itu, iaitu Hussein Onn.

“Pada asalnya geran padanan kepada Kolej TAR disebut dalam satu instrumen khas kerajaan yang dibentangkan oleh Hussein Onn pada 22 Ogos 1972 kepada Parlimen bagi menetapkan sokongan “ringgit ke ringgit” kerajaan kepada Kolej TAR bagi mengadakan dan menyediakan pendidikan kos rendah kepada rakyat Malaysia.”

Beliau berkata, pada 2013 Kabinet bersetuju memberikan kepada institusi itu RM60 juta selepas ia disahkan oleh kerajaan pusat dalam mesyuarat Kabinet bertarikh 6 Dis 2002, dan instrumen khas itu ditarik balik berikutan keputusan tersebut.

“Justeru geran padanan TAR UC adalah satu kontrak yang sah dari segi undang-undang yang mengikat kerajaan untuk memberi bantuan kepada institusi berkenaan secara langsung dan sepanjang 5 dekad lepas, TAR UC telah menerima geran berjumlah RM1.353 bilion secara keseluruhan.”

Beliau juga berkata, dari segi undang-undang, apa-apa bantuan kewangan kepada TAR UC, sama ada dalam bentuk geran padanan, malah dalam bentuk peruntukan, hendaklah diberikan secara langsung kepada TAR UC, bukannya melalui pihak ketiga walaupun jika ia diwujudkan sebagai sebuah yayasan untuk kebajikan TAR UC.

“TAR UC bertanggungjawab ke atas setiap sen geran padanan yang diterimanya secara langsung daripada kerajaan yang tergambar dalam akaunnya.

“Walaupun sekiranya TAR UC menerima RM40 juta daripada Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA), maka catatan perakaunan akan memperlihatkannya sebagai derma sebuah NGO yang membolehkan Yayasan Pendidikan TAR mengeluarkan resit pengecualian cukai.

“Sama ada TAA akan memberikan derma itu kepada TAR UC atau tidak belum dapat dipastikan. Justeru orang ramai harus bersikap berwaspada dan mempertanggungjawabkan TAA dan Lim Guan Eng ke atas wang peruntukan belanjawan sebanyak RM40 juta yang diambil daripada pembayar cukai itu.”

Beliau berkata, kekeliruan dan kekalutan berhubung isu TAR UC yang dicetuskan oleh menteri kewangan itu memualkan banyak pihak sehinggakan peniaga kecil pun bertindak mengutip derma untuk TAR UC.

“Rasa tidak puas hati ini antara lain tergambar pada kekalahan teruk calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.”

Minggu lepas, Kementerian Kewangan berkata, ia memperuntukkan RM40 juta kepada TAR UC melalui satu tabung amanah pihak ketiga.

Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, peruntukan kerajaan, yang ditambah kepada RM40 juta, akan dipindahkan kepada satu tabung amanah yang dikendalikan oleh TAA pada akhir bulan.

Beliau bagaimanapun mempertahankan pendirian bahawa MCA perlu melepaskan pegangan ke atas institusi tersebut bagi membolehkan TAR UC mendapat semula dana itu.

TAR UC dimiliki oleh Yayasan Pendidikan TARC, yang tertakluk di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).