Korea Selatan larang pelancong asing mohon lesen memandu

Jumlah pelancong jangka pendek rakyat China yang memperoleh lesen memandu Korea Selatan ialah 7,822 pada 2015 dan 7,213 pada 2016. (Gambar Facebook)

SEOUL: Pelancong asing jangka pendek akan dilarang daripada memohon lesen memandu di Korea Selatan apabila semakan undang-undang tempatan yang berkaitan dilakukan tidak lama lagi, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan polis pada Isnin.

Semakan semula Akta Lalu Lintas Jalan itu, yang membenarkan hanya orang asing berdaftar memperoleh lesen memandu di negara ini, sedang menunggu kelulusan sesi pleno Dewan Perhimpunan tanpa menyaksikan parti pembangkang membantah rang undang-undang tersebut, menurut Agensi Polis Kebangsaan Korea (NPAK).

Orang asing berdaftar merujuk kepada mereka yang berada di negara ini lebih 90 hari. Jika rang undang-undang itu diluluskan, pelancong jangka pendek akan dilarang daripada memohon lesen memandu tempatan.

Semakan semula undang-undang yang tertangguh itu dilakukan selepas ramai pelancong asing, kebanyakannya rakyat China, dengan mudah memperoleh lesen memandu Korea selepas mengikuti kursus intensif dan menyebabkan nahas lalu lintas di negara ke-3.

Sejumlah 5,977 lesen memandu Korea dikeluarkan kepada pelancong asing jangka pendek dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, dengan rakyat China menyumbang sebanyak 90.2% atau 5,389 orang, menurut data NPAK.

Jumlah pelancong jangka pendek rakyat China yang memperoleh lesen memandu Korea ialah 7,822 orang pada 2015 dan 7,213 pada 2016.

Susulan pertikaian pangkalan peluru berpandu 2 hala, angka itu merosot kepada 3,748 orang pada 2017 namun meningkat semula kepada 4,675 tahun lepas.

Jumlah itu tidak termasuk rakyat China yang memperoleh lesen memandu di sini.

Pegawai dan pakar berkata adalah lebih mudah dan selesa untuk mendapatkan lesen memandu di Korea Selatan berbanding China.

Di Korea, contohnya, pemohon dikehendaki mengikuti sekurang-kurangnya 13 jam latihan wajib iaitu kira-kira 1/5 daripada yang terdapat di China.

Pemegang lesen Korea boleh memandu di Eropah dan Amerika Syarikat serta China.

Bagaimanapun, beberapa negara Eropah mengadu tentang nahas lalu lintas membabitkan rakyat China yang memegang lesen memandu Korea.

Atas sebab yang sama, kerajaan China meminta Seoul menyekat pengeluaran lesen memandu kepada pelancong China.