Pegawai SPRM ditempat di pejabat ketua menteri Sabah

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal (tengah) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang media selepas majlis ikrar anti rasuah kerajaan negeri, hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Shafie Apdal hari ini mengumumkan penubuhan 2 jawatan kanan di pejabat ketua menteri bagi tujuan membanteras rasuah.

Beliau berkata, jawatan itu akan diisi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara kontrak.

Ujarnya, kakitangan di pejabat itu tidak perlu risau dengan kehadiran pegawai SPRM tersebut jika mereka tidak terlibat dengan aktiviti rasuah.

Dalam ucapan khas kepada penjawat awam negeri dan persekutuan sempena Hari Pencegahan Rasuah Sedunia, Shafie berkata, penubuhan 2 jawatan itu adalah bagi menyambut seruan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada Sept lalu supaya pejabat menteri besar dan ketua menteri menempatkan pegawai SPRM.

Turut hadir pada majlis itu ialah Latheefa, anggota Kabinet negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong.

Shafie berkata jawatan yang sama akan ditubuhkan di semua kementerian, bermula dengan kementerian yang berisiko besar berlaku rasuah.

Beliau juga berkata gaji kakitangan awam di Sabah akan dikaji semula untuk mengurangkan lagi kegiatan rasuah.
Bagaimanapun, ia akan dilakukan secara berperingkat dan mengambil kira keadaan kewangan negeri.

Terdapat 21,000 penjawat awam yang bekerja di kementerian dan agensi negeri.

Terdahulu, kakitangan agensi kerajaan dan persekutuan membaca ikrar anti rasuah di hadapan pegawai SPRM.