PRU UK: Kenali Ali, 25, pencabar utama PM Boris Johnson

Ali Milani (kanan) calon prospek Parti Buruh untuk kerusi Uxbridge and South Ruislip. (Gambar AFP)

UXBRIDGE: Ali Milani yang berasal dari Iran tidak boleh berbahasa Inggeris ketika datang ke Britain sewaktu usianya 5 tahun.

Dua puluh tahun kemudian, dia ancaman terbesar kepada Boris Johnson pada pilihan raya umum United Kingdom yang akan berlangsung pada Khamis ini.

Calon pembangkang utama Parti Buruh berusia 25 tahun itu cuba untuk menewaskan perdana menteri di kawasan Parlimen Uxbridge and South Ruislip di barat London.

Ahli politik muda sering diberi pengalaman berkempen di tempat-tempat yang sukar menang, namun tidak bagi Milani.

Johnson yang merupakan pemimpin Parti Konservatif hanya mempunyai majoriti 5,034 undi, menjadikan kerusinya sebagai kerusi marginal.

Tiada perdana menteri yang mempunyai majoriti sekecil itu sejak 1924.

Milani, yang menggelar dirinya “calon tempatan”, berkempen tanpa henti untuk meraih banyak undi daripada pihak lawan.

Dilahirkan di Iran, Milani dibesarkan oleh seorang ibu tunggal di kawasan perumahan rakyat berhampiran Stadium Wembley di barat laut London.

Johnson, 55, pula bekas datuk bandar London dan menteri luar negeri yang mendapat pendidikan di institusi berprestij, Kolej Eton dan Universiti Oxford.

Menurut kakaknya, Johnson yang mempunyai karisma dan persona yang ditonjolkan sebagai seorang lelaki stereotaip Inggeris, sewaktu kecil bercita-cita menjadi “raja dunia”.

Sebaliknya, Milani graduan politik dari Universiti Brunel di Uxbridge, beragama Islam dan bekas orang kanan dalam Kesatuan Pelajar Kebangsaan.

Undian pada Khamis mungkin berlatar belakang Brexit tetapi isu tempatan masih utama, dan kurangnya penampilan Johnson di kawasan berkenaan menjadi perhatian.

“Ia sentiasa menjadi kawasan Konservatif tetapi rakyat tidak gembira dengan hospital tempatan,” kata Michael Freitas, 42.

“Situasi golongan muda tidak baik,” katanya kepada AFP di pusat bandar Uxbridge, kira-kira 30km dari pusat bandar London.

Freitas, yang teragak-agak antara Milani dengan pembangkang lebih kecil Liberal Demokrat, tidak berpuas hati dengan ketiadaan Johnson di Uxbridge.

“Jelas sekali dia mengabaikan komuniti setempat,” katanya.

Generasi muda

“Di atas kertas, untuk merampas kira-kira 5,000 majoriti di kerusi yang diduduki perdana menteri bukan cabaran mudah,” kata Milani dalam artikel di The Guardian bulan lepas.

“Tetapi tanggapan terhadap Johnson telah berubah, kerana beliau menganggap rakyatnya menyusahkan, dan melayan mereka dengan rasa benci,” dakwanya.

Milani lihat terdapat “undi taktikal anti Johnson” dan kebangkitan pelajar serta anak muda yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menggesa mereka mendaftar sebagai pengundi serta membuatkan suara mereka didengar.

“Saya benar-benar percaya kita berada di ambang kejayaan bersejarah,” tulisnya.

Sementara itu, Catherina Knox, seorang pelakon dan penulis berusia 30-an, berkata Milani mempunyai “sentuhan rakyat” dan lebih mengutamakan pemikiran pemilih yang lebih muda. Dia merayu undi bagi pihaknya.

“Saya berasa agak tertekan dengan pilihan raya ini. Saya bimbang tentang Brexit, mengenai perkhidmatan awam kami, mengenai banyak perkara, ” katanya.

“Saya perlu lakukan sesuatu, saya fikir bagus untuk kalahkan Boris Johnson di kawasan sendiri. Dia (Milani) nampak lebih peduli dengan kawasan ini, dia dari sini.”

Kemenangan tipis?

Knox akui kemenangan “sukar tetapi tidak mustahil” buat Milani. Tetapi satu faktor yang memihak kepadanya adalah persepsi Boris calon “payung terjun”.

Sebelum menjadi datuk bandar London, Johnson adalah ahli Parlimen parti Tory di kerusi selamat Henley, berhampiran Oxford.

Tetapi guru sekolah rendah, Sharon Joyce berkata keperibadian Johnson dan kesetiaan yang jadi tradisi di kawasan itu, akan mememangkan perdana menteri.

“Semua orang suka dia di sini. Mereka pasti tidak mahu Buruh,” katanya, sambil menggariskan harapan seperti “hospital baru”, “hukuman lebih tegas” dan “balai polis”.

Bulan lepas, tinjauan YouGov mendapati Jonhson mendahului Milani antara 50% hingga 37%.