Sabah pandang serius kes polio, jamin tidak merebak

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, jangkitan virus polio di negeri itu tidak boleh dipandang ringan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memandang serius kes polio di Sabah dan akan memastikan ia tidak merebak, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Menurut beliau jangkitan virus polio di negeri ini tidak boleh dipandang ringan.

Justeru katanya, beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah untuk mengambil tindakan bagi memastikan keadaan ini diatasi secepat mungkin.

“Saya akan mendapat laporan lengkap dan setakat ini ia diurus dengan baik bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan lain.

“Menjadi harapan saya agar ibu bapa memastikan anak yang baru lahir diberikan vaksin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Integriti dan Anti Rasuah Bersama Kerajaan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Semalam, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seorang bayi lelaki berumur 3 bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit itu.

Ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) Jumaat lepas (6 Dis).

Shafie mengingatkan ibu bapa, khususnya di peringkat akar umbi (pedalaman) tidak menghindari pemberian suntikan vaksin oleh Jabatan Kesihatan kepada anak mereka.