Sukan SEA: Penolong profesor raih emas pertama e-Sukan negara

Yew Weng Keng memenangi pingat emas pertama untuk negara dalam e-Sukan pada Sukan SEA ke-30 di Filipina mengalahkan peserta Thailand Werit Popan 3-1. (Gambar Bernama)

MANILA: Seorang ahli akademik, Dr Yew Weng Keng mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam e-Sukan, di Sukan SEA ke-30 di Filoil Flying V Centre, San Juan, hari ini.

E-Sukan merupakan acara yang pertama kali dianjurkan di Sukan SEA kali ini dan atlet berusia 29 tahun itu memenangi emas bersejarah tersebut dalam permainan Hearthstone selepas menewaskan peserta Thailand Werit Popan 3-1.

Yew yang merupakan penolong profesor di Universiti Heriot Watt, Malaysia, memulakan perlawanan dengan memenangi set pertama, namun kalah pada set kedua dan kedudukan terikat 1-1.

Pada set ketiga, beliau menghadapi persaingan sengit lebih setengah jam sebelum mencatat kemenangan untuk mata kedua, dan kemudian meraih kemenangan mudah pada set keempat untuk mata ketiga.

“Pingat emas ini, amat bermakna untuk saya dan Malaysia, kerana ini pingat emas pertama negara dalam e-Sukan Sukan SEA. Rasa kagum, gembira dan bersyukur.

“Saya percaya dapat mencipta sejarah, dengan menyumbangkan 1 pingat emas kepada negara dan saya amat gembira untuk memenanginya.

“E-Sukan satu trend sekarang ini, ia akan terus ada walau apa pun kita lakukan… Remaja dan generasi kita akan datang lebih terikut dengan permainan elektronik. Ibu bapa seharusnya melihatnya dari segi positif kerana permainan elektronik sebenarnya boleh meningkatkan daya pemikiran strategik dan kritikal.

“Kesemua ini adalah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan, namun anak-anak perlu mengimbangkan antara permainan, aktiviti kesihatan dan juga pendidikan. Jika sepenuh masa bermain tanpa peningkatkan dalam pelajaran, anda tidak akan berjaya,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Hearthstone merupakan satu permainan dalam talian berdasarkan kepada permainan kad berstrategi yang dimainkan antara 2 orang.

Malaysia sebelum ini menang gangsa dalam acara Mobile Legends: Bang Bang, menerusi Ahmad Ali Huzaif Abdullah, Abdul Wandi Abdul Kadir, Jamil Nurolla, Izme Haqeem Hamsjid dan Muhammad Hazeem Onn selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 0-2, semalam.

Sejumlah 6 pingat emas dipertandingkan dalam e-Sukan iaitu, Tekken 7, Starcraft II, Heartstone, Arena of Valor, Dota 2 dan Mobile Legends: Bang Bang.