Dr M harap dapat selesai isu Goldman Sachs luar mahkamah

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berharap akan dapat capai suatu penyelesaian luar mahkamah dengan Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB tidak lama lagi, tetapi berkata pampasan lebih 1 bilion dolar yang ditawarkan bank itu terlalu kecil.

Malaysia mendakwa Goldman dan 17 bekas pengarah dan semasa di unit-unitnya mengelirukan pelabur mengenai jualan bon berjumlah AS$6.5 billion yang bank US itu bantu untuk 1MDB.

Mahathir berkata Malaysia menuntut AS$7.5 bilion daripada Goldman dan rundingan sedang berjalan.

“Kami mahu elak pergi ke mahkamah, tetapi kalau mereka boleh tawarkan jumlah yang munasabah saya fikir kami akan setuju,” katanya dalam temubual dengan Reuters hari ini.

“Tetapi pada ketika ini tawaran merema terlalu kecil. Kita akan terus bercakap dengan mereka dan jelaskan kenapa mereka harus bayar tuntutan kita. Sudah tentu, bukan jumlah penuh, mungkin mereka boleh kurangkan jumlahnya, tapi kami fikir kita boleh capai satu persetujuan kelak.”

Jurucakap Goldman enggan mengulas.

Mahathir berharap dapat capai suatu persetujuan dengan Goldman tidak lama lagi.

“Ya, saya mahu capai suatu penyelesaian. Ia sedang berjalan, dan sekiranya gagal, kita akan ke mahkamah.”

Goldman pada Oktober berkata ia sedang berbincang dengan pihak berkuasa mengenai satu penyelesaian kepada siasatan berhubung 1MDB.

Bank itu mungkin akan membayar kurang daripada AS$2 bilion kepada pihak berkuasa AS bagi menyelesaikan siasatan jenayah dan kawal selia berkaitan skandal itu, kata laporan Bloomberg minggu lepas.

Pihak berkuasa AS berkata kira-kira AS$4.5 bilion disalurkan daripada 1MDB, yang diasaskan pada 2009 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Skandal itu membantu Mahathir menewaskan Najib pada pilihan raya umum tahun lepas.

Mahathir berkata Malaysia tidak akan bersetuju dengan suatu penyelesaian dengan ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho, yang dituduh memainkan peranan penting dalam komplot itu.

Low nafi kesalahan dan berkata dia tidak menjangkakan suatu perbicaraan adil selagi Mahathir berkuasa.

“Kami fikir dia sangat bersalah. Kami ada bukti,” kata Mahathir mengenai Low. “Kami mahu selesaikan hal ini mengikut undang-undang.”

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia tidak berhubung dengan Low atau wakilnya dan tidak tahu di mana dia berada.

Jabatan Kehakiman AS bulan lepas berkata ia mencapai satu urus janji untuk mendapatkan kembali dana AS$1 bilion yang didakwa dicuri dari 1MDB daripada Low.