Mangsa banjir Beaufort, Membakut naik 206 orang

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir dari beberapa kampung di Beaufort dan Membakut yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Selagon terus meningkat setakat 4.00 petang tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Sabah dalam kenyataan berkata, 206 mangsa daripada 77 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan berbanding hanya 70 mangsa daripada 27 keluarga.

PPS di Dewan Selagon, Beaufort dibuka pada 2.50 pagi tadi berikutan hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan banjir sehingga 20 kampung di kedua-dua daerah itu terjejas.

Beberapa jalan menghubungkan kampung terbabit turut terjejas dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Setakat 3.00 petang tadi, paras air Sungai Padas mencatatkan bacaan terkini 8.75m melebihi paras bahaya 8.07m, manakala paras air Sungai Membakut pula merekodkan bacaan terkini 7.44m iaitu melebihi paras bahaya 6.80m.