Pelari negara ‘dirompak’ pingat emas kerana keputusan berat sebelah

Atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian (dua dari kanan) beraksi dalam acara lari berpagar 110m di Stadium Olahraga New Clark City di Filipina semalam. Beliau dan atlet naturalisasi tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista menamatkan larian dengan catatan masa sama 13.97 saat. (Gambar Bernama)

NEW CLARK CITY: Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil mendakwa pingat emas yang sepatutnya dimenangi jaguh lari berpagar 110m negara, Rayzam Shah Wan Sofian seolah-olah “dirompak” menerusi keputusan berat sebelah bahagian teknikal pertandingan olahraga Sukan SEA ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina, semalam.

Beliau mendakwa pihak teknikal pertandingan bertindak tidak adil dengan membuat keputusan berdasarkan pandangan sudut kanan saja, walaupun peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) mensyaratkan keputusan “photo finish” perlu dinilai dari sudut kanan dan kiri bagi menentukan pemenang sebenar, selain wakil negara tidak dibenarkan melihat semula video rakaman larian itu.

Rayzam dan atlet naturalisasi tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista mencatat masa sama 13.97 saat dalam acara itu, namun pihak teknikal pertandingan memberi kemenangan kepada Clinton berdasarkan “photo finish”, sekaligus menyaksikan atlet kelahiran Sabah itu gagal mengekalkan emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Wakil Laos, Anousone Xaysa meraih gangsa dengan catatan 13.99 saat.

“Sebenarnya, proses untuk menidakkan atlet Filipina itu daripada mendapat emas telah dibuat mengikut prosedur ditetapkan untuk menunjukkan kita berhak memenangi pingat emas itu.

“Semua protes dibuat dalam jangka masa ditetapkan. Bagaimanapun, proses itu tidak berlaku sepertimana sepatutnya dalam peraturan pertandingan, jadi jelas menunjukkan ada sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku, telah berlaku dan menyebabkan kita terlepas pingat emas,” kata Manshahar.

Sementara itu, pengurus skuad olahraga negara, Sallehudin Satar mendedahkan pihaknya akan memanjangkan perkara itu kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) kerana wujud ketidakadilan untuk Rayzam dalam isu “photo finish”.

“Saya jangka kita akan bawa perkara ini ke peringkat lebih atas dan sebagai satu rujukan di peringkat Asean,” jelas Sallehudin yang juga timbalan presiden Persatuan Olahraga Johor.