Penyokong remaja Burnley disiasat tunjuk isyarat perkauman

Son Heung Min menjaringkan gol menerusi larian solo ketika membantu Tottenham Hospur menang 5-0 ke atas Burnley. (AP pic)

LONDON: Seorang penyokong Burnley berusia 13 tahun yang dikeluarkan dari Stadium Tottenham Hotspur pada Sabtu lalu kerana menunjukkan isyarat perkauman terhadap pemain Spurs dari Korea Selatan, Son Heung Min.

Remaja itu kini sedang disiasat polis, kata kelab dari Lancashire itu semalam.

Penyokong itu, yang diiringi seorang penjaga ketika berada di stadium tersebut, dikesan membuat isyarat berkenaan ketika Burnley tewas 0-5 kepada Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Son, yang dinamakan sebagai Pemain Terbaik Antarabangsa Asia pada minggu lalu,.menjaringkan gol pada babak pertama selepas membuat larian solo dari kawasan sendiri dan menggelecek pemain tengah dan pertahanan Burnley sebelum menewaskan penjaga gol.

“Kelab Bola Sepak Burnley akan menghubungi remaja terbabit dan keluarganya, dengan tujuan melaksanakan program pendidikan yang diadakan bersama Kick It Out dan Burnley FC Bersama Komuniti,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Kelab Bola Sepak Burnley ingin mengulangi dasar tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk diskriminasi. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu membasmi masalah diskriminasi yang semakin meningkat dalam bola sepak.”

Kelmarin, 2 penyokong diusir dari Stadium Amex dan ditahan Polis Sussex kerana melontarkan kata-kata homofobia ketika perlawanan antara Brighton & Hove Albion dan Wolverhampton Wanderers yang berakhir dengan keputusan 2-2.