Polis panggil Yusoff Rawther sekali lagi

Muhammed Yusoff Rawther.

KUALA LUMPUR: Polis sekali lagi memanggil Muhammed Yusoff Rawther, lelaki yang mengeluarkan akuan bersumpah mendakwa Anwar Ibrahim melakukan serangan seksual, selepas 8 jam memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, semalam.

Difahamkan polis berusaha untuk merakamkan kenyataan lanjut daripada Yusoff.

Semalam, beliau menghabiskan masa kira-kira 8 jam di ibu pejabat polis Bukit Aman ditemani peguam Haniff Khatri Abdulla.

Polis menyiasat dakwaan Yusoff mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Sebelum ini, media melaporkan Yusoff yang juga bekas pegawai penyelidik kepada Anwar hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya, sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap Anwar.

Laporan itu menyebut, Yusoff bimbang dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

Rabu lepas, Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul presiden PKR pada 2 Okt tahun lepas.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Anwar yang mendakwa sedang berkempen pada pilihan raya kecil Port Dickson pada tarikh itu.