Royalti minyak Sabah, Sarawak antara 4 perkara MA63 belum dipersetujui PM

Selain isu royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak juga belum mendapat persetujuan bersama. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini dimaklumkan 17 daripada 21 perkara yang dikemukakan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia, mendapat persetujuan bersama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, baki 4 perkara masih dibincangkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.

Ini termasuk isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan hak negeri ke atas pelantar benua.

“Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, seterusnya akan disusuli pengumuman khas perdana menteri,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Theodore Douglas Lind yang mahu tahu perkembangan terkini beberapa perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bila kerajaan persekutuan akan mengumumkannya secara terbuka.

Menurut Hanipa, 17 perkara yang mendapat persetujuan adalah:

(i) Tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di Sabah

(ii) Pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di Sarawak dan Sabah

(iii) Pelaksanaan kerja raya persekutuan di Sarawak dan Sabah

(iv) Tenaga buruh di Sarawak dan Sabah

(v) Kuasa negeri ke atas isu kesihatan di Sarawak dan Sabah

(vi) Pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan di Sabah

(vii) Isu pertanian dan perhutanan

(viii) Obligasi kewangan persekutuan di bawah senarai bersama

(ix) Semakan semula pemberian khas

(x) Penangkapan ikan, perikanan laut dan muara

(xi) Tanah diberi hak milik kepada persekutuan di negeri

(xii) Kuasa baki perundangan mengenai alam sekitar dan pelancongan

(xiii) Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Perjawatan)

(xiv) Penurunan kuasa kepada mahkamah Sabah dan Sarawak

(xv) Bidang kuasa hakim besar Sabah dan Sarawak, autonomi pentadbiran mahkamah Sabah dan Sarawak, dan pengalaman kehakiman Borneo di Mahkamah Rayuan bagi mendengar kes difailkan di Borneo

(xvi) Pelantikan pesuruhjaya kehakiman

(xvii) Duti setem yang dikenakan ke atas instrumen pemindahan, caj, menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sarawak dan Sabah