Saya terima kritikan, Gobind ulas gesaan PM tukar menteri komunikasi

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata beliau sedia menerima sebarang kritikan termasuk desakan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad menukarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata apa yang penting adalah terus pastikan bekerja kuat untuk memperbaiki apa-apa kekurangan yang ada.

“Itu pendapat mereka yang hadir, saya terima apa-apa kritikan dan tidak ada masalah dengan itu. Itu adalah satu pandangan yang telah dilontarkan kepada saya.

“Banyak kerja yang perlu saya lakukan. Kementerian di bawah saya ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Termasuk yang fokus kepada ekonomi digital,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Tahunan Ekonomi Digital India Malaysia ke-3 (2019).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan seorang perwakilan Amanah yang mahu Gobind digugurkan daripada jawatan menterinya.

Sabtu lalu, perwakilan Amanah Sarawak Andri Zulkarnaen secara terbuka mendesak kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad menukarkan Gobind.

Andri berkata, Gobind tidak menunjukkan prestasi baik dalam mengemudi kementerian itu dan gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Gobind berkata bahagian komunikasi kementeriannya juga memang mengambil langkah yang perlu untuk naik taraf dan perbaiki teknik komunikasi negara.

Beliau berkata kritikan itu adalah proses demokrasi di mana semua dibenarkan untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Saya selaku menteri dan juga pemimpin kita harus dengar apa pun kritikan yang telah dikemukakan. Saya tidak ada masalah dengan perkara itu.

“Kerja mesti diteruskan dan kita perlu bekerja lebih kuat untuk pastikan kita lebih berjaya,” katanya.