Tarif elektrik pengguna domestik kekal

PUTRAJAYA: Tarif elektrik pengguna domestik kekal, manakala kadar surcaj tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik turun 0.55 sen/kWj mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2020, kata Suruhanjaya Tenaga (ST).

Katanya, melalui keputusan yang dipersetujui kerajaan itu, sebanyak 7.4 juta pengguna domestik akan diberi pengecualian surcaj tarif elektrik, manakala pengguna bukan domestik akan menikmati pengurangan surcaj, iaitu pengurangan kadar efektif tarif elektrik dalam bil elektrik mereka.

ST berkata, semakan menunjukkan RM376.45 juta perlu dilepaskan kepada pengguna di Semenanjung Malaysia melalui surcaj “Imbalance Cost Pass Through (ICPT)” bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2020.

“Sebanyak RM62.95 juta perlu dilepaskan untuk kategori pengguna domestik, manakala RM313.50 juta perlu dilepaskan untuk pengguna komersial dan industri,” kata ST dalam kenyataan hari ini.

Bagi pengguna domestik, sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ICPT supaya tiada surcaj dikenakan kepada pengguna domestik.

“Ini bermakna pengguna domestik tidak mengalami sebarang peningkatan tarif elektrik selama 18 bulan berturut-turut,” katanya.

Mengenai kategori pengguna komersial dan industri pula, ST berkata, surcaj sebanyak 2.55 sen/kWj dikenakan sejak Julai hingga bulan ini.

“Oleh kerana terdapat penurunan kos bahan api untuk tempoh 6 bulan ini (Julai-Disember 2019), kadar surcaj pengguna komersial dan industri akan diturunkan sebanyak 0.55 sen/kWj daripada 2.55 sen/kWj kepada 2 sen/kWj.”

Katanya, Menurut ST, terdapat penurunan dalam kos arang batu sebenar ari Julai hingga bulan ini, namun purata harga arang batu sebenar bagi tempoh itu masih melebihi paras harga penanda aras ditetapkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) mekanisme “Incentive-Based Regulation (IBR)” dari 2018 hingga 2020.

“Peningkatan harga ini di luar kawalan kerajaan kerana ia berdasarkan harga pasaran global. Di samping itu, permintaan elektrik lebih tinggi turut menyumbang kepada kenaikan kos bahan api dan kos berkaitan bagi Julai hingga Disember 2019.”

Di bawah mekanisme IBR, tarif elektrik asas bagi 2018 hingga 2020 ditentukan dengan menetapkan harga penanda aras bahan api arang batu dan gas dalam tempoh itu.

Menurut ST, sebarang perbezaan kos sebenar dengan harga penanda aras bahan api dalam penetapan tarif asas akan diselaraskan setiap 6 bulan di bawah mekanisme ICPT, sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat, bergantung kepada kos bahan api dan penjanaan lain dalam tempoh itu.

“Ini bermakna kadar efektif tarif elektrik ialah kadar asas ditambah surcaj ataupun kadar asas ditolak rebat dan penyelarasan kos bahan api ICPT untuk tempoh 6 bulan melalui surcaj atau rebat akan dilakukan pada 6 bulan seterusnya.

“Dengan erti kata lain, kadar surcaj atau rebat ICPT, untuk Januari hingga Jun 2020 ditentukan oleh harga bahan api Julai hingga Disember 2019.”