Teori konspirasi mengalahkan Hollywood, kata peguam Yusoff Rawther

Haniff Khatri Abdulla dan anak guamnya Muhammed Yusoff Rawther. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla hari ini menolak cakap-cakap bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam kes yang dikaitkan dengan anak guamnya, Muhammed Yusoff Rawther.

“Pada saya, kebolehan segolongan masyarakat kita untuk mencipta teori-teori konspirasi yang luar biasa, kadang-kadang boleh menjatuhkan kebolehan Hollywood, Bollywood dan Kollywood ke tangga kedua, ketiga dan keempat dalam kedudukan masing-masing.

“Mungkin ada baiknya, golongan itu menggunapakai ciptaan teori masing-masing untuk pembikinan cerita wayang untuk memperolehi pulangan lumayan,” katanya.

Yusoff, bekas bekas pegawai penyelidik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, disoal siasat polis selama 8 jam semalam atas dakwaan dirinya dicabul ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau ditemani Haniff, yang pernah mewakili Mahathir pada masa lalu.

Haniff berkata beliau mewakili Mahathir sebelum ini, dan masih menghadiri beberapa perbicaraan berkaitan perdana menteri itu.

“Fakta bahawa saya berada di hadapan dalam mewakili Yusoff ini, semestinya bagaikan “sudah terang lagi bersuluh” pada hakikatnya Dr Mahathir tidak mungkin berada di belakang perkara ini sama sekali,” katanya.

Beliau menambah peguam tidak boleh menolak arahan daripada anak guam dalam apa jua keadaan kecuali jika mereka mungkin bercanggah atau malu secara profesional kerana hubungan langsung dengan kes itu.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan Yusoff, mengatakannya tuduhan itu bermotifkan politik terutamanya menjelang Kongres Nasional PKR, hujung minggu lalu.

Beliau juga berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu, sementara peguamnya Ramkarpal Singh, menyerahkan menyerahkan notis undang-undang kepada Yusoff.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul.