Zuraida melampau, Shamsul mahu tindakan tegas, keras

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mencadangkan tindakan tegas dan keras terhadap Naib Presiden Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataannya pada satu majlis makan malam di ibu negara kelmarin, selepas kongres nasional tahunan parti itu tamat.

Shamsul berkata Zuraida melampau apabila mencaci dan menghina beberapa pemimpin PKR di majlis itu, serta serangan terhadap peribadi Pengarah Komukasi Fahmi Fadzil dan Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Saya turut difahamkan di dalam majlis itu Zuraida juga dengan bongkak membongkar beberapa perkara yang kononnya perbualan beliau dengan presiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul berkata isi butiran perbincangan dengan Anwar Ibrahim suatu amanah yang tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum.

“Melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Anwar,” katanya.

Majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menyaksikan Zuraida bersama Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan yang berapi-api, menempelak beberapa individu dalam parti mereka selepas selesainya kongres 5 hari di Melaka.

Kongres itu, yang diadakan disebalik perselisihan antara Azmin dan Anwar, dicemari kejadian pergaduhan dan rasa tidak puas hati Azmin dan sekutu dengan kandungan ucapan para perwakilan.

Majlis makan makan di ibu negara itu turut disertai Naib Presiden PKR Tian Chua; timbalan ketua Wanita, Daroyah Ali dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shaari, Sivarasah Rasiah, Mohd Rashid Hasnon.