1 rakyat Malaysia parah, tiada maklumat kematian dalam letusan gunung api NZ

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia cedera parah dalam insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand, kelmarin.

Wisma Putra mengesahkan mangsa kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.

“Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington belum menerima maklumat lanjut berhubung seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan terkorban sebelum ini,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan malam tadi.

Mereka yang terjejas atau berada di tempat kejadian disarankan menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di talian +64-4385 2439 / +64-4801 5659 / +64-210 440 188 (kecemasan) atau e-mel [email protected].

Ledakan gunung berapi di White Island yang juga dikenali sebagai Whakaari, 48km dari North Island di New Zealand, menghembuskan kepulan abu dan wap ke udara ketika sekumpulan pelancong mengunjungi pulau itu.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan mengesahkan 8 hilang, 6 maut dan lebih 30 cedera dalam kejadian yang berlaku pada 2.11 petang Isnin waktu tempatan itu.