BIMB buat penstrukturan semula kumpulan

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BIMB) akan mengambil langkah penyusunan semula kumpulan yang diharap dapat membuka nilai ketara kepada para pemegang saham dan memindahkan status penyenaraian kepada anak syarikatnya, Bank Islam Malaysia Bhd.

Cadangan penyusunan semula ini melibatkan 5 komponen yang merangkumi cadangan penempatan saham-saham baharu BIMB bagi mengumpulkan dana sebanyak RM800 juta, skim pengaturan (SOA) oleh BIMB untuk menyelesaikan waran yang belum lunas, penyusunan semula dalaman, pengagihan dan pembayaran balik modal serta penyenaraian Bank Islam.

“Hasil daripada penempatan dan tunai dalaman akan digunakan bagi menjelaskan sepenuhnya baki sukuk BIMB yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji.

“BIMB akan melaksanakan SOA untuk menyelesaikan waran tertunggaknya, di mana pemegang waran akan dibayar balasan tunai bagi pembatalan menggunakan hak yang termaktub dalam waran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bank itu menjelaskan lagi, penyusunan semula dalaman akan dijalankan di mana BIMB akan melupuskan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam syarikat broker saham dan pemajakan kepada Bank Islam, yang akan dibayar secara tunai.

Berikutan penyempurnaan penempatan tersebut, SOA termasuk penyusunan semula dalaman, keseluruhan pegangan saham BIMB dalam Bank Islam serta Syarikat Takaful Malaysia keluarga Bhd (STMKB) akan diagihkan melalui pengagihan “in-specie” kepada para pemegang saham BIMB.

“Sebelum cadangan pengagihan dan pembayaran semula modal, BIMB akan menjalankan usaha pengurangan modal dan Bank Islam akan melaksanakan langkah penggabungan saham.

“Ini bertujuan untuk memadankan baki saham BIMB supaya pengedaran saham Bank Islam akan didasarkan pada asas satu untuk satu,” katanya.

Selepas selesai pengagihan, para pemegang saham BIMB akan memegang kepentingan ekuiti langsung dalam Bank Islam dan saham-saham STMKB di bawah bahagian pegangan saham mereka dalam BIMB.

“Status penyenaraian BIMB kemudiannya akan dipindahkan kepada Bank Islam, yang akan muncul sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang serba lengkap yang tersenarai di rantau ini dan langkah ini juga akan meningkatkan reputasi korporatnya.

“Jika tidak ada sebarang halangan, cadangan tersebut dijangka selesai dalam suku ketiga 2020,” katanya.

Saham BIMB ditutup 2 sen lebih rendah kepada RM4.28, dengan 744,800 saham berpindah milik.